PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menganggap pertembungan menentang kelab dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai dalam aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) di Stadium Ulsan Munsu pada Selasa sangat penting untuk memburu slot ke peringkat seterusnya.

Meskipun JDT berjaya menewaskan juara Liga Korea itu dua kali musim lalu, Solari mengakui ianya amat berbeza kerana diadakan secara karnival di Malaysia selepas kesan daripada COVID-19 dan musim ini cabaran lebih getir apabila perlu bertandang ke gelanggang lawan untuk berhadapan skuad kendalian Hong Myung-bo.

“Kami tahu betapa pentingnya perlawanan menentang Ulsan Hyundai ini kerana mahu meneruskan tradisi layak ke peringkat seterusnya. Kami tahu bukan mudah tapi kami sedar pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan kami bersedia dengan baik untuk perlawanan ini serta tidak sabar untuk aksi ini.

“Kami tahu musim lalu JDT tewaskan Ulsan dua kali tetapi itu dalam situasi yang berbeza kerana COVID-19 dan juga bermain secara karnival di Malaysia dan kini mereka tampil berbeza dengan beberapa pemain yang baharu.

“Tetapi kami hanya fokus pada permainan ini dan telah mempersiapkan pasukan sejak 10 bulan lalu dan kami bersedia secara fizikal dan juga psikologi. Para pemain juga tahu mereka perlu berikan persembahan terbaik untuk mencipta keputusan yang positif malam esok,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Hotel Hyundai, Ulsan.

“Apapun, kami bersedia untuk berdepan Ulsan dengan membuat persiapan yang serius secara psikologi dan fizikal dan pemain juga tampak tidak berdepan masalah untuk beraksi selain kekuatan mental amat penting bagi perlawanan malam esok.

Pengendali kelahiran Argentina itu juga mengakui faktor cuaca sejuk selain fasiliti latihan yang kurang baik menjejaskan persiapan tetapi mereka perlu tempuhi segala kemungkinan dan bersedia menghadapi apa sahaja risiko yang dihadapi malah mengambil keputusan untuk tiba awal bagi menyesuaikan keadaan cuaca dan kondisi padang di Korea.

“Kami menempuh perjalanan jauh ke sini dan tahu kami perlu sesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan padang. Kini semua pemain sudah cergas sepenuhnya dan sudah mula mengadaptasi dengan keadaan padang dan cuaca.

“Tidak perlu untuk mengadu tentang keadaan padang latihan kerana ianya normal apabila anda beraksi di tempat lawan yang mana anda tidak mendapat padang seperti yang dikehendaki tetapi pemain menunjukkan kesungguhan dan mahu membuktikan kemampuan mereka.

“Kejohanan ini adalah medan buat pemain dan kelab buktikan yang kami mempunyai misi yang besar dan kemenangan keatas BG Pathum berikan keyakinan buat kami dan saya percaya pada para pemain mampu berikan yang terbaik dalam perlawanan ini,” jelasnya.

Pengendali yang mesra disapa Tano itu juga mengakui tugasnya ketika hadir ke JDT begitu besar kerana pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bukan sahaja mahu Harimau Selatan berjaya dalam saingan liga tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Antara cabaran ketika saya datang ke JDT adalah TMJ mahukan pasukan ini bukan sahaja hebat di liga tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa. ACL adalah medan untuk kami tunjukkan kualiti dan kami yakin akan berikan aksi terbaik esok,” katanya.

JDT kini berada di tangga kedua Kumpulan I dengan tiga mata apabila menang 4-2 ke atas BG Pathum United dari Thailand pada aksi kedua selepas tewas tipis 0-1 kepada Kawasaki Frontale pada aksie pembukaan ACL musim ini.