TIGA mata yang dibawa pulang ke Iskandar Puteri jelas melegakan Esteban Solari selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalami kekalahan mengejut dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara.

Kemenangan 4-2 ke atas BG Pathum United di laman lawan merupakan detik terindah walaupun satu ketika JDT ketinggalan hasil gol penalti daripada Victor Mattos Cardozo di awal babak pertama.

“Kami tidak sabar untuk bermain selepas kekalahan kepada Kawasaki Frontale kerana kami tahu kami boleh beraksi lebih baik. Hari ini adalah ujian untuk kami, dan pasukan bermain dengan hebat.

“Saya sangat bangga dengan pasukan dan pemain. Hari ini, kami menunjukkan kami bermain dengan baik dan keupayaan untuk bermain di BG Pathum,” katanya kepada media selepas perlawanan.

Sementara itu, pengendali berusia 43 tahun kelahiran Rosario, Argentina mengakui gol pertama BG Pathum adalah kunci untuk mereka membuat kebangkitan semula.

“Apabila anda ketinggalan 1-0, ia bagus untuk kami kerana anda mesti menunjukkan watak untuk memenangi perlawanan di tempat lawan. Itulah sebabnya saya berkata saya bangga dengan pemain. Saya lebih gembira dengan prestasi pasukan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia musim 2021 dan 2022, Arif Aiman ​​Hanapi yang menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan, ini jawapan Solari.

“Kami tahu apabila kami mempunyai bola dan ruang serta pemain seperti Heberty, Hong Wan, Bergson, kami tahu bahawa kami boleh pergi ke semua ruang untuk menyerang.

“BG Pathum juga mempunyai ramai pemain yang berkualiti. Kemudian kita mempunyai banyak peluang juga, ini menunjukkan taktik berfungsi, tetapi kadangkala mereka menjaringkan gol, dan kadangkala tidak.

“Tetapi kami gembira dengan apa yang kami rancang, dan pemain bermain dengan baik. Pemain muda seperti Feroz (Baharudin) dan Hong Wan bermain dengan baik juga,” ujarnya.

Juara 10 kali Liga Super berturut-turut itu akan bertandang ke Korea Selatan untuk menentang saingan ‘lama’ mereka Ulsan Hyundai bagi aksi ketiga Kumpulan I pada 8 Oktober 2023.