PENJAGA gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Syihan Hazmi mahu memperbaiki prestasi dirinya selain tidak mengulangi kesilapan dalam permainan sebagai usaha menjamin kejayaan pasukan pada masa akan datang.

Dia yang melakukan debut dalam Liga Juara-Juara AFC turut berterima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memberikan kepercayaan buatnya untuk beraksi di kejohanan bola sepak tertinggi kelab Asia itu.

“Bagi Syihan kalau beraksi di tahap ini, kita tidak boleh buat kesilapan walau satu saat pun kerana kita akan dihukum tetapi Syihan anggap semua rezeki dan tidak boleh cakap banyak dan ini juga satu pengajaran buat Syihan untuk perbaiki apa yang kurang.

“Syihan nak ucapkan terima kasih kepada TMJ kerana beri peluang bermain di pentas tertinggi Asia dan malam ini bukan rezeki buat JDT untuk catat keputusan yang baik,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim.

Selain itu, penjaga gol kebangsaan itu juga menyifatkan kesemua pemain skuad Harimau Selatan telah memberikan aksi melebihi 100 peratus namun masih ada perkara yang perlu diperbaiki dan ia perlu dilakukan secara konsisten dan berterusan.

Dia kelihatan sedikit kecewa kerana gagal meraih keputusan positif di laman sendiri tetapi dia berazam untuk bangkit dan terus bergerak ke hadapan kerana masih ada baki lima perlawanan dalam peringkat kumpulan ini.

“Bagi setiap pemain, kami mahukan mata di tempat sendiri kerana kita tidak tahu apa yang berlaku di luar jangkaan kita sebab itu penting untuk dapat mata di tempat sendiri dan kini apa yang perlu diperbaki kita perlu perbaiki secepat mungkin kerana kita ada banyak lagi perlawanan.

“Semua pemain telah berikan lebih dari 100 peratus tetapi jika ianya bukan rezeki kita, kita perlu terima dan kita perlu terus bergerak ke hadapan untuk menghadapi perlawanan seterusnya,” jelasnya.

JDT tewas dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara AFC 1-0 kepada Kawasaki Frontale selepas jaringan tunggal Marcinho pada penghujung babak pertama cukup untuk memberikan wakil Jepun itu tiga mata penuh dan bakal berhadapan BG Pathum dari Thailand pada 3 Oktober 2023 untuk perlawanan kedua Kumpulan I.