MINAT yang mendalam dan jiwa kepada bola sepak membawa tiga sahabat dari Segamat, Johor membawa mereka ke Ulsan bagi menzahirkan sokongan buat Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika perlawanan Liga Juara-Juara AFC di Stadium Ulsan Munsu, Korea Selatan.

Tiga anak muda tiba dari Kuala Lumpur pada Isnin dengan harapan JDT dapat terus mencipta kejutan ke atas Ulsan Hyundai seperti mana yang dilakukan pada musim lalu namun masih bersikap realistik dan menerima apa sahaja keputusan.

Jiwa sokongan pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Azam, Kimi dan Shahrul terhadap JDT diteruskan di luar Stadium Sultan Ibrahim dengan ada antara tiga sahabat ini juga yang mengikuti perlawanan Harimau Selatan di Pathum Thani sebelum ini.

“Kami bertiga dari Segamat dan sudah lama rancang perjalanan ini kerana mahu merasai suasana Liga Juara-Juara AFC di luar Johor dan kami memilih Ulsan kerana kami juga mahu bercuti di Busan dan beberapa lagi tempat menarik di Korea Selatan ini.

“Menang kalah belakang cerita kerana apa yang penting adalah pemain berikan aksi terbaik dan kita sebagai penyokong hanya perlu jalankan tugas dengan sentiasa berada di belakang pasukan tidak kira di mana kita berada.

“JDT dah buktikan pasukan kita mampu bersaing di peringkat Asia dan untuk kami sebagai penyokong untuk berada di Korea dan berikan sokongan buat JDT umpama mimpi jadi nyata,” kata mereka ketika ditemui FLASH SUKAN di Stadium Ulsan Munsu.

Kehadiran ramai penyokong JDT di Ulsan juga membuktikan mereka tidak kisah berhabisan wang ringgit kerana bagi mereka ini adalah sebahagian daripada pengorbanan yang boleh diberikan kepada kelab.