PENGENDALI Kawasaki Frontale, Toru Oniki nyata terkejut dengan prestasi yang dipamerkan Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini berbanding musim lalu meskipun berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara AFC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Bagaimanapun dia gembira apabila anak-anak buahnya berjaya mengikut arahan taktikal yang diberikan terutama pada babak kedua untuk memastikan kemenangan pertama di tempat lawan dan tiga mata pertama dalam kejohanan ini.
“Ianya satu perlawanan di tempat lawan yang cukup sengit dalam suasana yang menakjubkan tetapi barisan pertahanan kami beraksi dengan baik untuk mengelakkan JDT dari menjaringkan gol.
“Sangat penting untuk menang perlawanan pertama dan kami berjaya memberikan kemenangan kepada penyokong kami terutama yang ada disini yang hadir jauh dari Jepun.
“JDT mempamerkan perlawanan yang berkualiti terutama dari segi skil individu pemain mereka dan ianya sangat berbeza jika dibandingkan dengan musim lalu hingga saya terpaksa memberikan arahan untuk bertahan pada babak kedua kerana mahu mengekalkan kelebihan dan kemenangan untuk tiga mata pertama,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Dia turut memuji corak permainan yang ditampilkan pemain paling bernilai Liga Super, Arif Aiman Hanapi yang dianggap berbahaya dan sukar disekat kerana mempunyai kelebihan menggelecek yang bagus dan perlu dihentikan oleh barisan pertahanannya.
“Arif Aiman sangat kuat dan kami sudah memberitahu pemainsupaya mengawalnya kerana kelebihan menggeleceknya yang bagus dan boleh membahayakan kubu kami,” jelasnya.
Kemenangan ini meletakkan Kawasaki Frontale di tangga kedua berkongsi tiga mata dengan Ulsan Hyundai namun berbeza perbezaan jaringan dan kedua-dua pasukan akan bertemu di Tokyo pada 3 Oktober 2023.