KETUA Jurulatih Ulsan Hyundai, Hong Myung-bo jelas lega apabila pasukannya dapat menamatkan kemarau kemenangan dan jaringan dalam empat perlawanan terdahulu apabila membenam cabaran Johor Darul Ta’zim (JDT) 3-1 dalam aksi Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC di Stadium Ulsan Munsu, Korea Selatan.

Ulsan Hyundai hadir tanpa kemenangan dalam empat perlawanan — tewas tiga dan seri satu dalam dua kejohanan dan tambah malang mereka juga gagal menjaringkan gol hinggakan tiga gol yang dijaringkan keatas JDT dianggap sangat membanggakan.

“Kami gembira dengan kemenangan ini selepas kami tidak menang dalam empat perlawanan sebelum ini dan tiga gol yang dijaringkan juga sangat melegakan kerana ianya membantu meningkatkan kembali keyakinan pasukan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Ketua Jurulatih Hyundai Ulsan, Hong Myung-bo

Myung-bo belum mahu memikirkan terlebih dahulu aksi pusingan kedua di Iskandar Puteri sebaliknya mahu fokus kepada aksi liga terlebih dahulu kerana mereka sekali lagi mahu meraih kejuaraan selepas melakukannya musim lepas.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, pemain terbaik perlawanan, Gustav Erik Ludwigson pula merasakan hari ini adalah hari yang baik buat dirinya kerana membuktikan dia adalah pemain yang versatil kerana mampu membantu pasukan ketika menyerang dan juga ketika bertahan terutama ketika bermain dengan 10 pemain.

Dia juga mengakui tidak sabar mahu ke Johor Bahru walaupun sedar akan cabaran cuaca panas yang bakal dihadapi dan berharap dia dan rakan sepasukan dapat mengadaptasi keadaan cuaca itu dengan lebih cepat.

Pemain terbaik perlawanan, Gustav Erik Ludwigson

“Saya gembira dengan aksi saya walaupun ianya situasi yang sukar apabila bermain dengan 10 pemain kerana kami perlu mengadaptasi serta melakukan beberapa perubahan tetapi kami bermain dengan baik walaupun ditekan pada 15 minit terakhir perlawanan.

“Semestinya saya tidak sabar untuk ke Malaysia kerana saya tidak pernah bermain di sana. Saya dapat tahu ianya panas tetapi saya sudah biasakan diri dengan perlawanan ketika musim panas di sini dan kami perlu adaptasi dengan cepat dan harap kemenangan ini dapat berikan keyakinan buat kami,” katanya ketika menjawab soalan FLASH SUKAN.

Ludwigson dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan selepas dia menjaringkan dua gol serta mencipta satu gol buat ketua pasukan, Jung Seunghyun untuk aksi memukau menewaskan JDT 3-1 sekaligus naik ke tangga kedua Kumpulan I dengan enam mata selepas tiga perlawanan.