TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak membiarkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) keseorangan apabila beliau dilihat turun padang meninjau kelab kesayanganmya di Stadium Pathum Thani, Thailand pada Isnin.

Kunjungan itu adalah bagi menzahirkan sokongan padu buat anak buah Esteban Solari yang mengharapkan kemenangan sulung peringkat Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia.

Dalam sesi latihan rasmi itu, pemilik kelab JDT melihat taktikal pemain Harimau Selatan dan berbicara bersama Esteban Solaridi tengah padang yang akan berdepan pasukan BG Pathum United di sini.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan mengalami kekalahan pada saingan perlawanan pertama masing-masing dan terdesak memburu tiga mata penuh bagi membuka kembali peluang bersaing dalam pentas kejohanan bola sepak tertinggi kelab Asia.

JDT bermula langkah kiri kalah tipis 1-0 kepada gergasi Jepun, Kawasaki Frontale manakala kelab Thailand itu tewas 1-3 ketika bertemu pasukan dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai.

Namun, aksi dalam liga domestik memperlihat kegarangan JDT apabila menang besar ke atas PDRM FC baru-baru ini sekali gus membuka keyakinan untuk meneruskan kesinambungan rentak kemenangan di luar negara.

Stadium BG Pathum yang dibina pada tahun 2010 dan boleh memuatkan kapasiti 10,114 pada satu-satu masa dijangka penuh sesak malam esok untuk melihat satu lagi persembahan bertaraf dunia daripada kelab Asia Tenggara yang mula menonjolkan diri sejak mutakhir ini.