REAL Madrid berjaya meraih kemenangan pertama apabila berjaya menewaskan VfB Stuttgart dalam perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara yang berlangsung di Santiago Bernabéu.
Kemenangan ini turut mencuri tumpuan apabila pemain muda Real Madrid, Endrick, yang berjaya mencetak gol pertamanya dalam Liga Juara-Juara pada minit-minit akhir masa tambahan.
Endrick yang baru berusia 18 tahun, memanfaatkan peluang ini untuk melakar sejarah bersama Real Madrid dan berasa amat teruja dengan pencapaiannya itu.
“Saya sangat gembira dengan penampilan pertama saya dan gol pertama dalam Liga Juara-Juara dalam kerjaya saya.
“Dalam liga, saya rasa saya antara yang termuda yang menjaringkan gol untuk Madrid dan hari ini juga terjadi tetapi itu tidak penting kerana yang penting ialah dapat dapat membantu pasukan,” katanya yang dipetik daripada website rasmi Real Madrid.
Pemain Brazil itu telah mencipta rekod baharu pada usia 18 tahun dan 58 hari, sekali gus mengatasi rekod terdahulu dipegang oleh Raul yang menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Ferencvaros pada tahun 1995 ketika berusia 18 tahun dan 113 hari.
Dalam terhasilnya gol tersebut, Endrick memulakan gerakannya dari tengah padang, dengan Mbappe dan Vinicius turut berada di posisi untuk memberikan bantuan. Namun, Endrick membuat keputusan bijak dengan melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang akhirnya berjaya menewaskan penjaga gol lawan.
Endrick hanya memerlukan beberapa minit untuk menemui jaring dalam saingan Liga Juara-Juara sekali gus menambah kecemerlangan debutnya sebagai pemain Madrid.
Sebelum ini, dia juga mencuri perhatian dengan menjaringkan gol menentang Valladolid dalam penampilan rasminya yang pertama dalam liga.
Perlawanan berakhir dengan kemenangan 3-1 yang menyebelahi Madrid. Mbappé membuka jaringan pada minit ke 46, namun Deniz Undav menyamakan kedudukan pada minit ke 68.
Antonio Rudiger kemudian menanduk masuk gol hasil sepakan penjuru pada minit ke 83, sebelum Endrick menambah gol terakhir pada penghujung perlawanan.