JURULATIH Chelsea, Graham Potter akui Chelsea kembali menemui rentak sebenar apabila berjaya bangkit dengan kemenangan bertemu pasukan RB Salzburg dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi Rabu.

Dua jaringan kelas dunia dari Mateo Kovacic dan Kai Havertz meletakkan pasukan tersebut unggul dengan menamatkan rekod 40 perlawanan tanpa kalah di laman sendiri RB Salzburg.

Kemenangan tersebut menyaksikan Chelsea mengekori Manchester City untuk mara ke pusingan 16 aksi Liga Juara-Juara.

Biarpun begitu, Chelsea gagal mengungguli Kumpulan E setelah AC Milan turut membenam Dinamo Zagreb 4-0 untuk berada di puncak Kumpulan E.

Kemenangan tersebut mendapat reaksi positif Graham Potter yang memberikan pandangannya terhadap perkembangan terkini skuad Chelsea.

“Mereka berjaya mengambil mata di Liga Perdana Inggeris (EPL) dan beraksi dengan baik di kancah Liga Juara-Juara.

“Ia sememangnya merupakan kejayaan buat pasukan setelah mempamerkan kerja keras sepanjang perlawanan diadakan dan layak ke pusingan seterusnya.

“Ia permulaan baik bagi kami tetapi kita tidak boleh menjangkakan jalan sentiasa lurus tetapi keputusan malam ini adalah hanya sebagai permulaan,” ujarnya kepada BBC.