JUVENTUS tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) selepas tewas kepada wakil Portugal, Benfica 4-3 di Lisbon ketika peringkat kumpulan masih berbaki satu perlawanan.

Gergasi Itali itu yang memerlukan kemenangan untuk kekal dalam kempen UCL musim ini nyata tidak dapat menyaingi Benfica yang menang menerusi dua jaringan daripada Rafa Silva dan masing-masing satu oleh Joao Mario dan Antonio Silva.

Pengendali Juventus, Max Allegri mengakui bahawa kekalahan kali ini benar benar menyakitkan dan dia melaungkan amaran bahawa pemainnya bangkit segera dalam saingan liga walaupun agak terlambat.

“Pada kedudukan 1-1, kamu tak boleh memberikan lawan kamu penalti seperti itu. Kami telah menyusahkan hidup sendiri. Ianya sangat memedihkan namun saya mahu anak anak buah saya jadikan kekalahan ini sebagai api untuk bangkit dalam liga kerana ianya masih lagi panjang,” kata Allegri selepas perlawanan.

Kekalahan itu bukan sahaja menyingkirkan Juventus dari UCL tetapi harapan mereka untuk beraksi di Piala Europa juga kini bergantung kepada aksi terakhir kumpulan kerana kini mereka hanya mendahului Maccabi Haifa hanya menerusi perbezaan jaringan.

Sementara itu di Paris, kelab Israel itu dibelasah Paris Saint Germain 7-2 dengan Neymar dan Carlos Soler menjaringkan satu gol manakala Kylian Mbappe dan Lionel Messi masing-masing menjaringkan dua gol.

 

Bagaimanapun, Messi tidak dapat melengkapkan hatrik sekaligus gagal mencipta rekod baharu UCL dan kini dia kekal dengan lapan hatrik dalam kejohanan ini terikat Cristiano Ronaldo.

Pada perlawanan terakhir Kumpulan H, PSG akan bertemu Juventus di Turin manakala Maccabi Haifa akan menerima kunjungan Benfica bagi menentukan siapa muncul juara kumpulan dan siapa layak ke Piala Europa.