PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola akui The Citizens mengalami masalah ketika mengambil sepakan penalti.
Ianya dibuktikan apabila kali ini Riyad Mahrez gagal menyempurnakan sepakan penalti sewaktu pertemuan menentang Borussia Dortmund dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi Rabu.
Sejak Pep mengambil alih pasukan tersebut pada 2016, City kelihatan agak tumpul dalam sepakan penalti apabila hanya berjaya menjaringkan 25 daripada 80 gol buat kelab tersebut, tidak termasuk penalti shootout.
The Citizens berjaya meraih penalti apabila Mahrez dikasari pemain Dortmund, Emre Can namun sepakan di penjuru kanan pintu gol Dortmund berjaya dibaca dengan kemas penjaga gawang, Gregor Kobel.
Biarpun ianya keputusan positif untuk layak ke pusingan seterusnya, namun Pep menjelaskan ia adalah masalah sekiranya penalti berterusan gagal dimanfaatkan dengan jaringan gol.
“Sejak saya berada di sini, kita telah gagal menyempurnakan 25 sepakan penalti, kebanyakannya di Liga Juara-Juara.
“Ia sangat banyak. Anda harus memuji semangat pemain tetapi gagal terlalu banyak sepakan penalti adalah masalah besar.
“Kita harus segera memperbaikinya kerana sepakan penalti juga boleh menentukan sama ada pasukan tersebut kalah atau menang,” ujarnya kepada BBC Sports.