SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat bermula dengan langkah kanan dalam saingan Liga Bolasepak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2024 selepas melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas SMK Mutiara Impian bagi saingan bawah 14 Tahun.

Perlawanan berlangsung di Stadium Mini SMK Gunung Rapat, Ipoh, Perak turut disaksikan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh yang hadir merasmikan Liga KPM 2024.

Gol tunggal perlawanan hadir di minit ke-62 hasil penyudah Alif Irfan Rosdi untuk memastikan tiga mata menjadi milik tuan rumah.

Jurulatih SMK Gunung Rapat, Mohd Kamil Hakime Mohd Nazri bagaimanapun enggan melihat kemenangan yang diraih sebagai kejayaan sebaliknya mahu anak didiknya memperbaiki kelemahan.

Kah Woh bersalam dengan pemain sebelum sepak mula.

“Kemenangan di tempat sendiri adalah bagus tetapi ada banyak perkara yang perlu dinilai. Pemain pemain juga perlu belajar untuk mengekalkan corak permainan,” kata Mohd Kamil.

Sementara itu, Kah Woh yang turut meluangkan masa bertemu dan beramah mesra dengan para pemain berharap mereka dapat menunjukkan dan meningkatkan kemahiran masing masing.

“Liga KPM merupakan medan yang terbaik untuk pemain pemain muda menunjukkan kemahiran mereka untuk pergi jauh di masa depan. Ini adalah peluang untuk mereka pergi lebih jauh dan cemerlang,” katanya.