SEKOLAH Sukan Bukit Jalil (SSBJ) antara tiga pasukan yang mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus selepas tamat dua perlawanan Liga Bolasepak Bawah 14 tahun Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) 2024.

SSBJ melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas SMK Syed Hassan, Perlis hasil jaringan Muhd Al–Asyraf Mohd Rulnizan pada perlawanan yang berlangsung di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada Sabtu sekali gus memastikan anak didik Nik Juhaisham Tarmizi Juhari mengumpul enam mata.

Meskipun berjaya melakar jaringan di awal saingan, kelebihan bermain dilaman sendiri gagal memberi impak untuk menambah jaringan sepanjang perlawanan sekaligus menyaksikan keputusan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan

“Kita akui masih banyak ruang yang perlu diperbaiki selepas perlawanan hari ini (Sabtu) terutama di bahagian oenyudah kerana kita memiliki banyak peluang terhidang sepanjang perlawanan,” kata Adrian Shaun Scully, pembantu jurulatih SSBJ.

Pemain SSBJ tengah mengawal bola daripada diambil oleh pihak lawan.

Akademi Mokhtar Dahari B14 menerajui kumpulan A dengen perbezaan jaringan disusuli SMK Putrajaya Presint 14 (1) yang menghuni tangga kedua manakala SSBJ ditangga ketiga, kesemuanya berkongsi enam mata.

Dalam saingan kumpulan B pula, SMK Tun Hussein Onn muncul pendahulu liga selepas turut mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus selepas tiga perlawanan.

Mengekori rapat dibelakang adalah SMK Ibrahim Fikri yang mengumpul enam mata maksima namun masih kurang satu perlawanan berbanding pendahulu.

SMK Tun Hussein Onn berjaya menewaskan SMK Mutiara dengan keputusan 1-0 manakala SMK Ibrahim Fikri berjaya menumpaskan Akademi Mokhtar Dahari B13 dengan keputusan 3-1.