LIGA Malaysia (Liga-M) 2023 dijangka kembali meriah dengan semua kelab yang bertanding dilihat bersungguh-sungguh mempersiapkan pasukan masing-masing menjelang aksi pembukaan pada 24 Februari 2023.
Aksi Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim dan Terengganu FC akan menyingkap tirai saingan diikuti beberapa lagi perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 Februari 2023.
Selain dari hadir ke stadium untuk menyokong pasukan kesayangan, kini para penyokong yang menonton di televisyen juga bakal dihidangkan dengan siaran yang lebih berkualiti beserta kandungan yang lebih padat selain mendapat ilmu bola sepak daripada bekas-bekas pemain dan pengurus pasukan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata dia gembira dengan kembalinya penyiar rasmi yang sememangnya mempunyai kualiti dalam penerbitan kandungan sukan dan mahu Liga Malaysia menjadi buah mulut penyokong seperti liga antarabangsa.
“Saya sangat gembira dengan kerjasama ini dan saya mahu melihat anak-anak muda mula bertukar dengan memakai jersi kelab tempatan berbanding kelab antarabangsa yang menjadi kebiasaan ketika ini,” katanya dalam majlis memperkenalkan penyiar rasmi Liga Malaysia 2023.
Kesemua 244 perlawanan Liga Malaysia melibatkan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia akan ditayangkan secara langsung dengan format definisi tinggi (HD) yang juga boleh ditonton secara dalam talian untuk kemudahan para penyokong menyaksikan perlawanan bola sepak tempatan.
Kandungan untuk para penyokong juga ditambah baik dengan pelbagai rancangan sampingan selain bekas-bekas pemain akan berkongsi ilmu bola sepak serta memberikan ulasan pakar dalam setiap perlawanan yang berlangsung.
Usaha ini dijangka akan mengembalikan semula kemeriahan Liga Malaysia yang kini semakin membuka mata badan korporat untuk menjadi rakan kongsi dan juga penaja sekaligus meningkatkan nilai komersil Liga Malaysia.