SABAH FC dilihat antara pasukan yang giat melakukan persiapan awal menjelang musim Liga Malaysia (Liga-M) 2023 dengan melakukan pelbagai penambahbaikan dalam skuad dan juga kepada padang latihan dan juga Stadium Likas.

Pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee itu juga bakal beraksi di kejohanan kelab Asia, Piala AFC selepas berjaya menempah tempat sebagai pasukan di tempat ketiga Liga Super musim 2022.

Bercakap kepada FLASH SUKAN,  Kim Swee meletakkan sasaran awal untuk terus berada di kelompok tiga terbaik dalam Liga Super dan juga memperbaiki persembahan dalam pertandingan domestik yang lain.

Ong Kim Swee

Kim Swee juga mahu menggunakan aksi di kejohanan domestik sebagai persediaan buat Sabah FC menghadapi Piala AFC yang dijadualkan bermula pada bulan Ogos 2023 dan fokus diletakkan pada pertandingan Liga Super terlebih dahulu.

Namun begitu, beliau masih meletakkan harapan untuk membawa Sabah FC sejauh mungkin dalam pertandingan kelab Asia itu sekaligus mencipta sejarah buat Skuad Badak.

“Sasaran untuk pasukan Sabah FC sudah tentu untuk memperbaiki apa yang telah kita lakukan pada musim lalu. Sebagai contoh kita perlu berada di kelompok tiga terbaik dan tidak boleh mengakhiri liga di tangga keempat mahupun kelima walaupun pihak pengurusan tidak meletakkan sebarang sasaran namun kita harus kekalkan tiga kedudukan tiga terbaik sebagai sasaran kita.

“Pada masa yang sama kita juga perlu memperbaiki persembahan pasukan di Piala FA dan juga di Piala Malaysia kerana kedua-dua pertandingan ini memberikan tiket ke peringkat Asia untuk musim 2024/2025 nanti.

“Untuk pertandingan Piala AFC pula, sudah tentu kita ingin lakukan yang terbaik dan melangkah sejauh mungkin seperti mana yang dilakukan oleh Kuala Lumpur City FC dan juga Johor Darul Ta’zim tetapi kita akan tumpukan dulu perhatian pada Liga Super dan Piala FA terlebih dahulu kerana Piala AFC hanya akan bermula pada bulan September 2023,” jelasnya.

Sabah menambah tiga pemain import baharu selain mengekalkan Park Tae-su dan Saddil Ramdhani selain mendapatkan khidmat pemain tengah kebangsaan, Stuart Wilkin secara tetap sebagai langkah untuk memperkasakan pasukan.