KEPUTUSAN Amateur Football League (AFL) membenarkan pasukan Melaka FC bertanding dalam Liga M3 2023 mendapat kecaman hebat daripada penyokong bola sepak tempatan selepas apa yang berlaku kepada satu lagi kelab, Melaka United FC.

Namun begitu Presiden AFL, Datuk Wira Yusof Mahadi menjelaskan beberapa perkara telah diambil kira oleh Lembaga Pengarah AFL sebelum membenarkan pasukan baharu, Melaka FC menyertai Liga M3 musim ini.

Antara beberapa perkara yang dipertimbangkan adalah status Melaka FC sebagai pasukan negeri dan tidak adil buat pasukan negeri jika mereka tidak dibenarkan beraksi kerana ianya akan merencatkan pembangunan bola sepak negeri itu.

“Melaka FC adalah pasukan baharu yang ditubuhkan dan perbincangan lembaga pengarah bersetuju membenarkan pasukan ini didaftarkan adalah atas faktor ianya adalah pasukan negeri kerana tidak adil untuk pasukan negeri jika mereka dinafikan peluang bersaing.

“Ini yang berlaku kepada Perlis sebelum ini yang digantung oleh Fifa. Tidak mungkin Perlis tidak mempunyai pasukan dalam mana-mana liga di Malaysia. Begitu juga dengan Sarawak United kerana apabila kita memberikan peluang kepada pasukan negeri bermain sekaligus ianya boleh membantu pembangunan sukan bola sepak di negeri itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemain Melaka FC sudah terima gaji pertama 

“Melaka United pula adalah syarikat yang berlainan pemilik dan segala hutang perlu ditanggung oleh pemilik MUFC dan juga para pemegang saham kelab itu. Kepada mereka yang mahu membuat tuntutan sama ada pemain, pegawai atau mereka yang mempunyai bayaran tertunggak boleh mengambil tindakan guaman ke atas Melaka United,” kata Yusof kepada media.

Melaka United FC dibatalkan penyertaan mereka di Liga Super oleh “First Instance Body” (FIB) selepas tidak membayar gaji para pemain sehingga enam bulan dan perkara ini masih berpanjangan hingga kini serta masih tidak menemui jalan penyelesaian.