LAPAN pasukan Liga M3 2022 kini di dalam fasa untuk melengkapkan penyerahan dokumentasi bagi proses pelesenan kelab sehingga 17 September ini.

Pasukan itu adalah Kuala Lumpur Rovers FC, BRM FC, PIB FC, Imigresen FC, Armed Forces FC, Kinabalu Jaguar FC, Manjung City FC dan Harini FT.

Menurut Ketua Pegawai Operasi AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad, pihaknya dengan kerjasama Malaysian Football League (MFL) sebelum ini telah mengadakan sesi Taklimat Khas Pelesenan Kelab pada 15 Ogos 2022 bagi lapan pasukan yang berjaya melayakkan diri ke Suku Akhir.

Sewaktu program tersebut berlangsung, kesemua pasukan juga telah dimaklumkan bahawa mereka diberi peruntukkan masa kira-kira sebulan untuk melengkapkan proses pelesenan yang dimaksudkan.

Jelas Raimi, program itu bertujuan bukan sahaja menjadi modul pendidikan sebaliknya ia bakal menjadi titik permulaan untuk membimbing pasukan ke arah Pengurusan dan Pentadbiran yang lebih efisien berlandaskan Peraturan Pelesenan Kelab.

Ini kerana selaras struktur baharu Liga Super yang bakal dibarisi 18 pasukan pada musim 2023, dua wakil daripada Liga M3 akan memperolehi slot bermain di liga nombor satu negara sekali gus menjadi pasukan-pasukan yang berpotensi untuk bermain di Liga Super pada tahun hadapan dan kelulusan untuk Pelesenan Kelab adalah satu keperluan.

Mengulas lanjut, Raimi memberitahu AFL berharap agar semua pasukan dapat melengkapkan urusan Pelesenan Kelab ini walaupun tidak berjaya melangkah ke Final mahupun Play-Off ke Liga Super 2023.