DUA finalis Liga M3, KL Rovers FC dan PIB FC sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan akhir yang bakal berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sekaligus bergelar juara liga tier ketiga negara.
Kedua-dua pengendali pasukan juga gembira dan teruja kerana bakal beraksi di peringkat playoff untuk tiket ke Liga Super 2023 selepas MFL mengumumkan pengstrukturan semula liga dengan 18 pasukan.
Pengendali KL Rovers, Zamri Hassan menyatakan mereka sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi perlawanan akhir pada Sabtu bagi menjulang trofi Liga M3 selain turut meletakkan sasaran untuk beraksi di saingan Liga Super pada musim depan.
“KL Rovers mencipta sejarah pada tahun ini untuk menjulang trofi Liga M3 dan selepas itu kami akan bermain play-off pula yang mana kami berharap dapat mencapai sasaran untuk bermain di Liga Super pada musim hadapan,” katanya.
Zamri pada masa sama turut berkata persiapan pasukannya tidak terjejas langsung walaupun dua tonggak utama tidak dapat diturunkan pada perlawanan akhir esok berikutan digantung.
Sementara itu pengendali PIB FC, K. Ramachandran pula tidak mahu menganggap pasukannya sebagai pasukan pilihan dalam perlawanan akhir kerana keputusan peringkat kumpulan melibatkan kedua-dua pasukan berakhir dengan keputusan seri.
Saya tidak menganggap PIB FC sebagai pasukan pilihan, dan kami akan bermain permainan kami seperti biasa. Sebelum ini kedua-dua pasukan seri pada peringkat kumpulan tetapi untuk final ini ianya sedikit berbeza oleh itu kami akan berikan aksi yang terbaik,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.
Pada peringkat separuh akhir, KL Rovers mengenepikan BRM FC dengan peraturan gol tempat lawan selepas seri 2-2 manakala PIB pula berjaya menewaskan Imigresen FC dengan agregat 3-1.