PASUKAN UiTM United menyasarkan untuk ke semi final dalam perlawanan Piala Al-Ikhsan 2023 anjuran Liga Amatur Malaysia (AFL)  yang akan diadakan bermula 3 Jun ini.

Kapten pasukan, Adam Afiz memberitahu UiTM United kini bersedia mengharungi saingan Piala Al-Ikhsan yang sebelum ini dikenali Liga M4 menentang Real Chukai FC.

Adam Afiz

“Saya boleh katakan pasukan kini bersedia sepenuhnya kerana dah mula berlatih sebelum bulan puasa memandangkan ini adalah kali pertama penyertaan kami dalam Liga M4.

“Sebagai ketua pasukan, saya tahu UiTM United lebih daripada bersedia untuk memberi saingan yang hebat pada pasukan yang lain walaupun ini adalah kali pertama,” kata Adam kepada FLASH SUKAN.

UiTM United

Dalam masa yang sama, Adam dari Fakulti Undang-Undang UiTM juga mengakui untuk memenuhi sasaran ditetapkan untuk pasukannya berada sehingga ke semi final (Piala Al-Ikhsan) bukanlah satu perkara yang mudah namun tidak mustahil untuk dicapai oleh UiTM United.

“Saya tak nampak perkara itu sebagai perkara yang mudah atau pun susah kerana ada kepercayaan kepada pasukan untuk ke semi final,” ujarnya.

Sempena penjenamaan baharu UiTM United yang dahulunya UiTM FC, Adam menekankan ‘rebranding’ bukan perkara yang buruk, sebaliknya ia memberikan semangat yang baru buat pasukannya memulakan liga pada musim ini.

“Saya gembira dengan ‘rebranding’ ini kerana ia langkah yang baik dan menunjukkan kami bersedia untuk memulakan permainan di Liga M4.

“UiTM United juga masih membawa identiti yang sama walaupun diberi nama yang baharu,” tambahnya lagi.