PERTAHANAN tinggi lampai Sabah FC, Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzli kini mengintai untuk menyertai mana-mana kelab yang sudi mendapatkan khidmatnya di posisi tersebut.
Ia susulan kontraknya yang telah tamat pada penghujung November 2022 serta tidak ditawarkan sebarang kontrak lanjutan dari Sabah FC buat masa ini.
“Setakat ini tiada sebarang kontrak lanjutan dari Sabah FC.
“Buat masa sekarang ini saya masih belum terima apa-apa tawaran secara rasmi lagi dari mana-mana kelab,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Jelas Badrul yang miliki ketinggian 1.84 meter, jauh di sudut hatinya masih ingin bersama pasukan The Rhinos yang juga merupakan negeri kelahirannya namun harus menunggu sebarang keputusan yang bakal ditetapkan pengurusan Sabah FC.
“Kalau diikutkan saya memang mahu terus berada di sini, cuma ianya terpulang kepada pihak pengurusan untuk menentukan,” jelas anak kelahiran Kampung Limbanak, Penampang itu.
Kali terakhir, Badrul diberi kepercayaan oleh Datuk Ong Kim Swee bagi mengemudi bahagian pertahanan adalah pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim.