Oleh: MOHD FARIQ

SEKILAS penulis sempat membelek garis masa media sosial sementara menunggu ketibaan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam untuk sesi temuramah santai bersama FlashSukan di Ibu Kota baru-baru ini.

Apa yang pasti, masih ramai sedang berbicara mengenai format baharu Liga Malaysia musim depan yang bakal dibarisi 18 pasukan termasuk liga baharu iaitu Liga Simpanan yang objektif kepada pemain bawah 23 tahun (B-23) sementara Liga Premier dimansuhkan buat seketika.

Biasalah ada yang bersetuju dan ada yang kurang bersetuju yang mana masing-masing memiliki pandangan tersendiri tetapi penulis yakin Stuart telah mengkaji pelbagai aspek sebelum berani mengumumkan wajah baharu Liga Malaysia musim 2023.

Sedang leka anak mata penulis membaca setiap pandangan netizen di laman media sosial, akhirnya sosok yang ditunggu tiba dan Stuart yang sememangnya terkenal dengan mesra media menyambut penulis dengan senyuman.

Bicara terus dibuka dan topik disusun sebaiknya.

“Saya mahu jenama Liga Malaysia menjadi lebih kuat dan jika boleh, perjalanan dari Klang ke Kuala Lumpur selepas ini terus dihiasi dengan iklan-iklan seperti billboard penaja-penaja Liga Malaysia antaranya Telekom Malaysia (TM) menggunakan elemen bola sepak tempatan sebagaimana mereka memiliki platform itu dan itulah impian saya,” pantas Stuart mencuit rasa ingin tahu penulis.

Ikuti temubual bersama wakil Flash Sukan, MOHD FARIQ bersama Stuart dalam membincangkan format baharu Liga Malaysia bagi musim 2023.

FS: Perancangan Kalendar Liga Malaysia bakal menemui kesukaran sekiranya kejohanan Piala Asia diadakan pada tahun hadapan?

Stuart: Ya, sudah pasti tetapi MFL sedang meneliti kalendar 2023 bersama FAM untuk memastikan kami sudah bersedia dengan 2-3 pilihan sususan kalendar tahun 2023.

FS: Ramai yang terlepas pandang mengenai objektif liga simpanan selain perkembangan liga di peringkat belia di mana ia bertujuan memberikan minit kepada pemain muda. Apakah jaminan daripada MFL?

Stuart: Liga Simpanan adalah platform untuk kelab melahirkan generasi pemain seterusnya yang ingin mereka bawa ke Liga Super. Peraturan yang kami sediakan untuk pertandingan ini akan menjamin objektif itu dan kami berharap kelab-kelab Liga Malaysia menggunakan peluang ini untuk membangunkan lebih ramai pemain berbakat untuk diri mereka sendiri.

FS: 18 pasukan di Liga Super sekali gus dijangka akan meningkatkan lagi nilai komersial. Berapakah sasaran MFL?

Stuart: Perubahan yang kami lakukan ini membolehkan MFL berpeluang untuk meningkatkan nilai liga. Ini akan mengambil sedikit masa kerana industri sedang dalam pemulihan pasca-pandemik dan kami hendaklah sentiasa ingat bahawa industri bola sepak juga merupakan industri sekunder yang bergantung kepada keadaan ekonomi negara. Penyusunan semula Liga Super adalah peluang untuk kami di MFL dan juga untuk semua Kelab bekerjasama dalam mengukuhkan nilai Liga Malaysia sambil mengharap selepas pilihan raya yang semakin hampir dan pemulihan ekonomi negara selepas itu, saya pasti bahawa perubahan ini akan membawa kepada usaha yang lebih berjaya secara komersial.

FS: Ramai masih menuding isu kemampuan pasukan di sebalik penubuhan 18 pasukan di Liga Super. Adakah MFL sedia membantu mereka?

Stuart: MFL akan memastikan perjalanan Liga dan juga semua kelab ke struktur liga baharu ini dilakukan dengan cara yang tersusun untuk mengelakkan sebarang situasi yang tidak diingini daripada perubahan ini. Tahun 2023 boleh dilihat sebagai tahun transisi dan MFL akan memasti lebih banyak program pembangunan kelab dan pengkomersialan dilaksanakan untuk mengukuhkan peluang setiap kelab untuk mengeksploitasi perubahan yang akan datang.   Walaupun ada kerisauan kos tambahan, kami juga tahu dengan jelas bahawa kebanyakan kelab juga teruja dengan peluang tambahan kewangan daripada perubahan Liga tahun hadapan. Kelab melihat impak kos ini diimbangi oleh peluang pendapatan tambahan daripada jadual dan perlawanan yang lebih berkualiti.