JENTERA tengah Kedah Darul Aman (KDA) bakal dikemudi pemain kelahiran Dushanbe, Tajikistan, Amirbek Jurabaev, 26, yang menandatangani kontrak setahun bersama pasukan itu.
Kehadiran Jurabaev akan mengisi kekosongan ditinggalkan pemain posisi terdahulu yang tidak disambung kontrak oleh pihak pengurusan.
“Selamat datang Amirbek Juraboev.
“Amirbek Juraboev menandatangani kontrak selama setahun bersama KDA FC. Kehadirannya mengisi posisi tengah, kuota pemain import Asia dan antara pemain menjadi perhatian ketika beraksi menentang Malaysia di King Cup 2022 ketika mewakili Tajikistan.
“Kekentalan bahagian tengah dalam bertahan adalah aset berharga dalam gaya permainan Amirbek,” tulis kenyataan rasmi kelab itu pada Sabtu.
Pemain berketinggian 1.79 meter itu berpengalaman dalam pasukan kebangsaan Tajikistan di samping menyertai aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia bersama kelab dari Filipina, United City FC musim ini.
Menerusi semakan di laman sesawang www.transfermarkt.co.uk, Jurabaev yang mengumpul 46 kaps menyertai Sang Kenari bermula 1 Januari 2023 dari United City menerusi perpindahan percuma.