BEKAS pemain bek kanan Petaling Jaya City (PJ City) FC, Mahalli Jasuli mendedahkan ada menerima tawaran dari pasukan Kedah Darul Aman FC dan Negeri Sembilan FC bagi menghadapi kancah Liga Malaysia musim hadapan.

Mahalli turut memberi gambaran bahawa kelab yang bakal disertainya musim hadapan adalah Negeri Sembilan memandangkan dia memberi sedikit pembayang bahawa kelab disertainya adalah kelab yang hampir dengan Lembah Klang.

“Ada dapat tawaran dari KDA FC dan Negeri Sembilan. Dua itu sahaja. Secara peribadi , saya ingin cari minit permainan yang banyak dalam permainan saya.

“Memang ada beberapa kelab yang menawarkan dan saya telah datang latihan untuk pasukan tersebut. Kelab ini adalah dekat dengan Lembah Klang.

“Memang ada rundingan dengan beberapa kelab semasa PJ City FC telah bersepakat tidak beraksi dalam liga musim hadapan,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Untuk mengetahui lanjut status Mahalli, dia berharap peminat dapat bersabar dan menunggu sedikit masa kerana pengumuman akan dibuat kelab tersebut tidak lama lagi.

Bagi Mahalli, fokusnya kini adalah untuk terus mencari lebih minit permainan dan ditempatkan dalam pasukan yang akan mempercayai kemampuannya untuk diturunkan dalam setiap perlawanan.

” Sekarang masih lagi dalam pra-musim. Jadi, untuk musim depan Insha Allah dengan pasukan baharu. Insha Allah kelab akan maklumkan dalam masa terdekat. Saya akan cuba bantu kelab saya tahun hadapan,” jelasnya.

Sebelum ini , Mahalli terpaksa membuat keputusan memilih kelab lain selepas Petaling Jaya City FC mengumumkan penarikan diri dari kancah Liga Malaysia musim hadapan.