TERENGGANU FC (TFC) telah berjaya mengumpul tajaan berjumlah lebih RM9 juta bagi menghadapi sepak mula musim baharu 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab. Rasid Jusoh, berkata, jumlah itu termasuk tajaan dalam bentuk kewangan sebanyak RM5 juta daripada 15 rakan penaja.

Menurut beliau, pihaknya menjangkakan perbelanjaan bagi musim depan akan meningkat sehingga RM28 juta berikutan pertambahan bilangan perlawanan Liga Super dan penyertaan dalam Piala AFC.

“Melalui jangkaan unjuran belanja pada 2023 itu, kami sedang giat meningkatkan jumlah tajaan serta menambah pendapatan kelab melalui pelbagai aktiviti perniagaan.

“Bagi tahun 2022, sejumlah RM23 juta dibelanjakan untuk skuad utama TFC dan TFC II dalam Liga Premier selain skuad akademi serta program-program pembangunan.

“Hasil pendapatan utama TFC adalah kutipan jualan tiket Liga Malaysia apabila RM3.3 juta berjaya dikutip melalui perlawanan di laman sendiri musim ini,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Ab. Rasid ditemui pemberita selepas menerima tajaan RM250,000 selama setahun daripada Sabasun Hyperruncit Sdn. Bhd. yang diwakili Pengarah Urusan, Che Salmi Che Ibrahim.

Menurut Che Salmi, pemulihan sektor ekonomi pada 2023 mendorong pihaknya kembali tampil selaku rakan penaja selepas kali terakhir menaja T-Team pada 2013.

“Kami cukup teruja untuk menjadi sebahagian daripada TFC dan kami melihat ianya peluang untuk mempromosi syarikat Sabasun Hyperruncit di pentas lebih tinggi,” katanya.