Kredit Foto – TFC

BEBERAPA pemain skuad Liga Premier bakal dinaikkan ‘pangkat’ ke pasukan utama Terengganu FC (TFC) oleh pengendali, Tomislav Steinbruckner, musim depan.

Antaranya tonggak pertahanan, Safwan Mazlan, Aqil Irfanuddin Sabri, Hairiey Hakim Mamat dan Nur Azfar Fikri Azhar yang telah dikenalpasti sebagai bintang dalam pembikinan skuad Sang Penyu.

Menurut Steinbruckner, pemain berkenaan memiliki potensi besar untuk digilap dan memainkan peranan utama buat TFC dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC 2023.

“Sebagai kelab yang memiliki sejarah hebat dan DNA pemain-pemain muda yang berbakat, saya menjangkakan masa depan yang cerah buat mereka.

“Jadi saya perlu bertanggungjawab memberi peluang kepada ubi muda ini. Mungkin ada yang akan dipinjamkan kepada kelab lain untuk minit permainan tetapi mereka penting kepada TFC.

 

Nur Azfar (kiri) merupakan pemain lincah dan berpotensi diserapkan dalam skuad utama TFC musim depan.

“Safwan contohnya, pada usia 20 tahun menunjukkan dia layak berada dalam skuad utama dengan prestasi cemerlang dan akan bersama kami untuk musim depan,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Malah jurulatih kelahiran Croatia itu memberi jaminan akan meneruskan kesinambungan Nafuzi Zain sebelum ini dengan memberi peluang kepada pemain muda TFC.

Steinbruckner berkata, negeri itu tidak pernah ketandusan pemain berpotensi dan bakat-bakat seperti Safawi Rasid, Arif Fadzilah Abu Bakar dan Nor Hakim Hassan dicungkil dari usia muda.

“Beberapa pemain senior tempatan juga berhijrah ke pasukan lain namun ianya tidak melemahkan TFC kerana kami ada pemain muda yang tidak kurang hebatnya,” tambah Steinbruckner.