IMIGRESEN FC (IFC) terus memberi tekanan kepada pendahulu Liga MBSB Bank Championship 2023 selepas menang bergaya 4-0 ke atas Sarawak United FC di Kuching pada Sabtu.
Tiga mata yang diperoleh memastikan anak buah Mat Zan Mat Aris itu mengutip 45 mata untuk selesa kekal di tangga kedua dan kini beraksi jumlah 20 perlawanan bersama dengan Kuala Lumpur Rovers yang gah menerajui carta dengan 49 mata.
Selepas memintas Harini Selangor FT minggu lalu, kemaraan IMC bagaikan dijangka sukar dikekang menjelang baki lagi empat perlawanan dalam pemburuan kejuaraan musim ini.
Bagaimanapun, Kuala Lumpur Rovers berpeluang menjarakkan diri jika mengatasi Sains FC aksi seterusnya petang Isnin di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Selepas meraih pengalaman berharga di peringkat suku akhir pertama Piala Malaysia ketika dikalahkan PDRM FC pada 18 September lalu, skuad berpangkalan di ibu kota itu pastinya akan meningkatkan suhu permainan untuk tidak kehilangan mata penting peringkat liga.
Manakala, kelab Harini FT yang pada awalnya disebut-sebut mampu menghadirkan cabaran akan turun ke padang hari ini berdepan Malaysian University dalam misi kembali di landasan kemenangan selepas keciciran mata berharga dalam aksi terdahulu.
Sesuatu yang menarik bagi Harini FT apabila jentera serangan mereka begitu produktif kerana muncul pasukan paling banyak menggegarkan jaring lawan sebanyak 46 gol, lebih satu jaringan berbanding pendahulu dan kedua terbaik ketika ini.
Sementara itu, dua kelab yang boleh dianggap memiliki fan base tersendiri Perlis United FC dan Melaka FC berkongsi 27 mata untuk masing-masing berada di kedudukan ketujuh dan kelapan liga.
Manakala Naga Ultimate KS FC menghuni tangga tercorot termasuk bolos paling banyak, 86 gol dan hanya mampu mengutip tiga mata selepas bermain 20 perlawanan.