HANYA keputusan seri 1-1 terhasil aksi melibatkan pertembungan pasukan Imigresen FC (IFC) dan pendahulu semasa, Kuala Lumpur Rovers FC dalam saingan Liga MBSB Bank Championship 2023 yang berlangsung di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), petang tadi.
Pada awal babak pertama, penjaga gol KL Rovers, Ameerul Eqhwan Mohd Fauzi yang menerima tekanan bertubi-tubi daripada pasukan lawannya masih kelihatan tenang di sisi gawangnya.
Bagaimanapun, KL Rovers FC berjaya membuka tirai jaringan dalam separuh masa pertama menerusi Muhamad Ikmal Mohd Idris sekali gus menggegarkan benteng pertahanan IFC.
Tidak lama selepas itu, pemain sensasi IFC, Abdul Azim Rahim menyamakan kedudukan mata dengan satu sepakan penalti yang diambilnya sejurus minit tambahan pada babak pertama bermula.
Bersambung aksi pada separuh masa kedua pula, situasi mulai tegang dalam kalangan penonton apabila berlaku beberapa kekecohan antara pengadil dan jurulatih pasukan tuan rumah.
Kedua-dua pasukan saling mengasak dan berbalas serangan namun kedudukan tersebut kekal sehingga tiupan wisel penamat.
IFC kini mengutip 39 mata selepas beraksi 18 perlawanan liga manakala KL Rovers memungut 46 mata.