HAJAT Kuala Lumpur Rovers mengesahkan kejuaraan mutlak MBSB Bank Championship 2023 ranap apabila sekadar seri 1-1 bertemu Harini Selangor FT pada aksi terakhir liga di Stadium Universiti Putra Malaysia, Serdang pada Sabtu.
Ia selepas Imigresen FC merakam kemenangan di Stadium Hang Tuah menewaskan Melaka FC 1-0 untuk memintas takhta liga pada saat akhir.
Pertembungan penentuan kejuaraan liga itu berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan saling mengasak sebaik minit pertama dimulakan.
Liga MBSB Bank Championship 2023
FT : Harini Selangor FT 1-1 Kuala Lumpur Rovers
⚽ Norshahrul Idlan Talaha 28'
⚽ Rafie Mat Yaacob 35'** Kuala Lumpur Rovers muncul naib juara dan beraksi playoff ke Liga Super 2024@MY_AFL#afl #mbsbbank#championship2023 pic.twitter.com/WOl48Tko2b
— Flash Sukan (@FlashSukan) October 21, 2023
Harini FT yang dibarisi sejumlah pemain berpengalaman terlebih dahulu membuka tirai menerusi bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha pada m-28 apabila mudah menewaskan Ameerul Eqhwan Fauzi di gawang sendiri.
Tersentak jaringan tersebut, Kuala Lumpur Rovers kembali memperkemaskan permainan dan menukar corak hantaran berikut keadaan padang yang licin selepas hujan sebelum perlawanan bermula.
Hasilnya, Rafie Mat Yaacob berjaya menyamakan kedudukan untuk pelawat m-35 berpunca situasi kelam-kabut dalam kotak penalti Harini FT.
Babak kedua bersambung dengan memperlihatkan aksi ligat dan bertenaga termasuk beberapa pertukaran dibuat oleh pasukan tuan rumah dan lawan, namun keputusan pada separuh masa tidak berganjak sehingga Fusser Mad Sallih meniup wisel panjang.
Sementara itu, Kuala Lumpur Rovers akan bermain perlawanan playoff bertemu pasukan tercorot Liga Super bagi mengiringi Imigresen FC yang ditabalkan kejuaraan untuk ke kancah elit musim hadapan.
Bagaimanapun, segala keputusan ini bergantung kepada kelulusan Malaysian Football League untuk pelesenan kelab yang dijangka akan diumumkan pada minggu depan.