PELUANG Kuala Lumpur (KL) Rovers FC untuk mengekalkan kedudukan pertama dalam carta liga MBSB Championship 2023 semakin pudar apabila tewas mengejut dengan skuad Manjung City FC 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak.

Jurang yang semakin dirapatkan oleh IFC yang kini memiliki 48 mata manakala KL Rovers FC 50 mata sedikit sebanyak telah menggugat prestasi skuad kendalian Wan Mustaffa Wan Ismail yang menaruh harapan untuk menjuarai liga tersebut musim ini.

Sementara itu, lima perlawanan lain yang turut mendapat perhatian dalam aksi pada minggu ke-23 ini adalah Harini Selangor FT yang memberi keputusan seri 1-1 dengan Bukit Tambun FC sekaligus menjadikan 44 mata keseluruhan dalam 21 perlawanan.

Pasukan PIB Shah Alam FC pula telah tewas di laman sendiri apabila Perlis United FC mendahului perlawanan dengan mata 2-1 di Stadium Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai petang tadi.

Seterusnya, skuad Armed Forces telah mengeluarkan taring  sebenar apabila membenam pasukan Sarawak United FC, 4-0 di gelanggang pihak lawannya iaitu Stadium Negeri, Kuching.

Pertembungan antara KSR Sains FC dan University of Malaya FC pula telah dijadualkan berlangsung pada 1 Oktober nanti di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi.