SEBANYAK 32 pasukan bolasepak yang berlatih dibawah kelolaan Program Pembangunan Bolasepak Negara dan Majlis Sukan Negara akan bertanding dalam kejohanan Liga PLD Lembah Klang anjuran bersama Haro Sports & Entertainment Sdn Bhd, Majlis Sukan Negara, dan Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN)
Lebih dari 600 pemain dan 150 pegawai termasuk pasukan teknikal akan terlibat dalam Liga PLD Lembah Klang bagi kategori Bawah 13, 15 dan 17 tahun dengan objektif pengajuran liga ini adalah untuk menyediakan platform kejohanan yang terancang dan teratur.
Kejohanan ini akan menjadi platform untuk menguji tahap latihan pasukan serta keberkesanan latihan di setiap Pusat Latihan Daerah PPBN yang berada di kawasan Lembah Klang dan sekitarnya.
Bagi memeriahkan lagi liga kali ini, beberapa pasukan yang berada di tahap yang lebih tinggi akan terlibat seperti skuad Sekolah Sukan Bukit Jalil B-15, dua pasukan dari Sekolah Sukan Negeri Sembilan B-13 dan B-15 B-13 serta dua pasukan dari Akademi Mokhtar Dahari B-13 dan B-14.
Bahagian pencarian bakat PPBN juga akan berada di venue perlawanan untuk mencari bakat baru yang boleh diketengahkan dimasa hadapan dalam kejohanan yang bermula dari Mei hingga November 2024 di padang sintetik Lembaga Penyelidikan Getah Malaysia, Sungai Buloh.
Juara setiap kategori akan membawa balik Piala Pusingan, Piala Iringan, set jersi dan barangan sukan serta turut melibatkan pasukan di tempat tempat kedua dan ketiga selain anugerah pemain penyerang, pemain tengah, pemain pertahanan dan penjaga gol terbaik serta pasukan Fairplay.