PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan tiga kejohanan futsal peringkat kebangsaan akan diadakan musim hadapan melibatkan kategori lelaki dan wanita.
Perkara ini disahkan oleh Timbalan Presiden FAM Datuk Yusof Mahadi ketika sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Keenam di Kelana Jaya.
Bagi kategori lelaki, Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) akan diadakan bermula Februari hingga Julai 2023 diikuti Piala Futsal Malaysia melibatkan lapan pasukan teratas MPFL manakala bagi kategori wanita pula, Liga Futsal Wanita Kebangsaan akan bermula pada Mei 2023.
Untuk menambah kehangatan kejohanan futsal ini, FAM telah bersetuju untuk menambah satu lagi kuota pemain import Asia bagi kategori lelaki menjadikan satu kuota terbuka dan satu kuota Asia.
ARTIKEL BERKAITAN : FAM teliti penggunaan VAR untuk Liga Malaysia 2023
Manakala bagi kategori wanita pula, satu kuota pemain import terbuka dibenarkan sekaligus bakal menyaksikan kemasukan pemain antarabangsa yang berkualiti dan dapat membantu menaikkan imej sukan futsal.
Untuk rekod, Selangor MAC muncul juara berganda bagi MPFL 2022 kategori lelaki dan juga Piala Malaysia Futsal manakala Melaka United muncul juara kategori wanita.