RENTETAN dua kemenangan yang berjaya dilakar oleh UiTM FC pada kempen Liga Premier memberikan kelegaan buat pengendalinya Ismail Ibrahim setelah permulaan yang hambar di awal musim.
UiTM yang tewas enam kali berturut-turut meraih mata sulung dan juga kemenangan pertama selepas menundukkan Skuad Projek FAM-MSN 1-0 pada 17 Mei.
Rentak itu diteruskan apabila mereka menewaskan Perak FC, 2-0 di Stadium Perak, Ipoh pada 21 Mei lalu dan meletakkan UiTM yang menggunakan 100 peratus pemain tempatan musim ini kian menghampiri kedudukan kelompok pertengahan Liga Premier.
Kini, satu lagi kemenangan menjadi buruan UiTM FC menjelang pertemuan melawan pasukan tangga keeenam liga, PDRM FC pada Sabtu.
“Berdepan PDRM, saya tidak memandang rendah kemampuan mereka kerana skuad kendalian Wan Rohaimi itu ada kualiti tersendiri.
“Saya mahu pemain cuba mencuri satu mata atau jika bonus, mendapatkan kemenangan yang seterusnya boleh meletakkan kami dalam kelompok yang lebih baik di Liga Premier,” katanya dipetik dalam Malaysian Football League.
Setelah melakukan banyak kali rombakan pemain dan taktikal bagi mendapatkan aksi terbaik dari pasukan, akhirnya Ismail akui dia sudah menemui formula terbaik buat UiTM pada musim ini.
Justeru, dia mengharapkan rentak konsisten dapat diteruskan pemain-pemain bagi terus menjauhi kelompok bawah Liga Premier.
“Sememangnya saya sangat gembira selepas kekalahan demi kekalahan yang dilalui, akhirnya pemain-pemain berjaya bangkit dan berikan persembahan terbaik dalam dua perlawanan terakhir.
“Dua kemenangan ini sedikit sebanyak menyuntik semula keyakinan dan moral pemain-pemain bagi hadapi baki saingan Liga Premier.
“Bukan mudah untuk bermain dengan kekuatan semua pemain tempatan dan saya harap kami mampu meraih satu lagi kemenangan sebelum satu lagi aksi di pusingan pertama Liga Premier,” ujarnya lagi.