PENYERTAAN skuad Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) di Liga Remaja Singapura dilihat membantu kelab-kelab remaja tempatan untuk beraksi dengan sebuah akademi yang cukup profesional dengan pendekatan positif.
Perkara ini dipersetujui oleh bekas pemain JDT yang juga legenda Singapura, Baihakki Khaizan dalam podcast ‘Footballing Weekly’ yang disiarkan menerusi media dalam talian di negara jiran itu.
Meskipun kehadiran skuad JDT ke Liga Remaja Singapura menyaksikan skuad muda tempatan dibelasah tanpa belas kasihan, tetapi pada pandangan bekas kapten Singapura itu, inilah peluang buat kelab-kelab remaja Singapura untuk belajar tentang sikap positif yang diterapkan dalam Akademi JDT.
“Pertama sekali apabila bercakap tentang ‘scorelines‘, perkara ini terjadi hanya disebabkan satu pasukan yang menyertai kita iaitu Johor Darul Ta’zim dan perkara ini terus menarik minat ramai peminat dan penyokong untuk berbicara tentangnya.
“Bagi saya, terima kasih kepada Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail yang sudi menandatangani perjanjian dengan FAS dan cuba membantu dalam apa cara yang dia mampu menggunakan JDT sebagai platform.
“Bila lagi peluang untuk kita bermain menentang pasukan seperti JDT yang mempunyai akademi serba lengkap dan profesional. Jadi kita juga perlu melihat dari sudut positif apa yang boleh kita pelajari,” katanya.
Baihakki juga menyatakan keadaan bola sepak akar umbi di Singapura yang menyebabkan mereka dibelasah tetapi ini adalah peluang terbaik untuk mereka belajar dan membina semula pasukan bola sepak yang baik untuk masa akan datang.
“Ini adalah keadaan kita ketika ini dan mengapa kita melihat keputusan yang tidak menyebelahi kita, mungkin ini adalah standard bola sepak akar umbi Singapura ketika ini.
“Kehadiran JDT juga boleh dianggap sebagai aspirasi buat pemain-pemain muda Singapura untuk mencapai tahap yang telah diletakkan oleh mereka dan atas sebab ini kehadiran mereka sangat penting dan dihargai,” jelasnya.
JDT menghantar dua skuad – B-13 dan B-15 untuk beraksi di Liga Remaja Singapura dan mereka menunjukkan satu kelas lebih baik berbanding pasukan tempatan dan juga satu peluang buat skuad Akademi JDT menimba pengalaman di peringkat antarabangsa dengan minit permainan yang tinggi.