SEBUT saja Johor Darul Takzim FC, ramai sudah dapat membayangkan betapa hebatnya pasukan dari selatan tanah air itu. Bukan sahaja gah dalam saingan domestik malah turut cemerlang di pentas antarabangsa.

Penyerang kelahiran Brazil, Bergson Da Silva ternyata sangat berbisa ketika berada di bahagian serangan. Buktinya, dia berjaya menjaringkan 16 gol untuk pasukan JDT FC dalam saingan Liga Super.

Kelibat pemain ini juga bukan sahaja mampu meledak padu dalam saingan domestik, malah mempunyai kawalan bola yang sangat baik serta mampu mengucar-ngacirkan pertahanan lawan ketika beraksi di saingan Liga Juara-Juara AFC.

Manakala, anak jati Tanjung Karang Selangor, Amri Yahyah mengetuai senarai pendahulu sebagai penjaring terbanyak tempatan.

Lebih manis lagi, hanya Amri atau lebih dikenali sebagai Wak Am yang berada dalam kelompok 10 terbaik bagi penjaring Liga Super musim ini menjadikan dia sangat berpengaruh dalam arena bolasepak negara.

Tatkala umurnya semakin meningkat naik, Wak Am kelihatan mampu mengekalkan stamina dan kecergasan pada tahap tertinggi.

Pada umur 41 tahun, dia masih kreatif dan lincah dalam mencorak serangan buat kelab yang diwakilinya, Sabah FC pada ketika ini.

Ia jelas membuktikan umur bukanlah penghalang bagi Amri mencetak jaringan terbanyak bagi pemain tempatan dengan menyumbat masuk lima gol untuk Sang Badak.

Dalam saingan Liga Super yang masih berbaki lapan perlawanan, ruang masih terbuka bagi setiap pemain menunjukkan kebolehan individu yang dimiliki  bagi mengejar anugerah jaringan terbanyak musim ini.