SETELAH berehat hampir tiga minggu daripada saingan Liga Super kerana memberi laluan kepada pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC, Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali fokus untuk mengukuhkan kedudukan mereka di takhta liga.
Melaka United bakal menjadi lawan untuk mereka melupakan kekecewaan tersingkir dari saingan kelab tertinggi Asia itu sekaligus mengutip tiga mata untuk meneruskan penguasaan dalam liga tempatan.
Para pemain JDT dilihat bersemangat menjalani latihan di bawah seliaan Hector Bidoglio kerana mereka sedar Melaka United bukanlah lawan yang mudah selepas diikat pada aksi liga di Melaka.
Practice drills and smiles! 🙌
More photos at https://t.co/lTPRfmM0US#JDT#TrainingSession#LuaskanKuasamuJohor#JDTforAll pic.twitter.com/htP9N5SgTM
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) August 26, 2022
Apa yang menarik, aksi di Hang Jebat pada Julai lalu adalah kali terakhir Harimau Selatan tidak berjaya mencatat tiga mata sebelum berjaya merakam lima kemenangan berturut-turut dalam Liga Super.
Kem Melaka United juga dilihat gigih melakukan persiapan setelah berehat hampir dua minggu selepas dikecewakan dua gol Sri Pahang yang menafikan skuad Hang Tuah tiga mata penuh di laman sendiri.
Pengendalinya Asri Ninggal sudah tentu mahu memperbaiki aksi anak-anak buahnya terutama bahagian pertahanan dan menguatkan mental para pemain supaya lebih fokus sepanjang 90 minit permainan.
Ini ekoran Melaka United telah melepaskan jaringan pada minit-minit terakhir dalam empat perlawanan berturut-turut, tiga dalam aksi liga dan satu dalam saingan Piala FA yang nyata mengecewakan pasukan dan juga para penyokong.
Selain berhadapan barisan bintang JDT, para pemain Melaka United juga perlu kental bermain di hadapan ribuan penyokong JDT yang pastinya mahukan kemenangan dari pasukan kesayangan mereka ini.
Tiga mata akan mengukuhkan kedudukan JDT di takhta liga dengan 41 mata, enam mata mengatasi Sabah di tangga kedua manakala Melaka akan naik satu anak tangga ketangga ketujuh jika meraih kemenangan.