FINALIS Piala FA, Terengganu FC mengidam tiga mata menjelang kunjungan Sabah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu yang turut dalam misi memburu slot tempat kedua terbaik Liga Super.

Jika skuad Peteh berjaya meraih kemenangan, ia akan mengurangkan defisit mata sekali gus mencabar tiket ke Piala AFC 2023.

Anak buah Nafuzi Zain boleh dikatakan dalam momentum terbaik apatah lagi menyapu bersih 15 mata berturut-turut saingan liga sebelum ini kecuali ketika tumpas kepada Johor Darul Ta’zim dalam perebutan Piala FA baru-baru ini.

Malah, mood penyokong Sang Penyu juga tidak sabar-sabar kembali hadir ke stadium sejak 14 September lepas.

Laman rasmi Facebook Terengganu FC mendedahkan setakat ini jumlah tiket online yang telah terjual telah melebihi 3,000 keping tiket dan semakin meningkat dari masa ke masa.

 

Terengganu sudah pasti menyandarkan harapan kepada gandingan Kipre Tchetche dan Kpah Sherman yang kini mengumpul 13 gol di Liga Super serta peledak tempatan, Faisal Halim yang menyumbat empat jaringan.

Sementara itu, kem The Rhinos kendalian Datuk Ong Kim Swee tidak rela ‘menangis’ di Gong Badak bagi mengelak keciciran mata berharga dan ingin mengekalkan tampuk pasukan pencabar buat JDT.

Kesemua pemain Sabah dikatakan berada pada tahap tertinggi kecuali pemain import Jose Embalo sahaja yang masih mengalami kecederaan.

Tiga perlawanan sebelum ini, Sabah hanya mencatat keputusan seri menentang Kedah (1-1), Kuala Lumpur (2-2) dan kalah pada Selangor (2-3).

Sabah pada ketika ini berada di kedudukan kedua memungut 36 mata dibelakang JDT  yang unggul dengan 43 mata.