PERLAWANAN antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kelantan FC pada Sabtu pastinya menarik perhatian ramai penyokong bola sepak tempatan kerana sejarah antara kedua-dua pasukan.

Sebelum kemunculan JDT pada 2013 dan terus mendominasi kejayaan domestik, Kelantan adalah pasukan yang mendatangkan iri kepada pasukan lawan selepas muncul juara dua kali berturut-turut pada 2011 dan 2012.

Namun selepas 10 tahun, JDT semakin mengorak langkah ke hadapan termasuk menjadi juara Piala AFC tetapi sebaliknya buat Kelantan yang jatuh ke Liga Premier sebelum kembali semula ke Liga Super selepas penstrukturan liga.

JDT mendominasi tiga perlawanan awal Liga Super musim ini

Perlawanan sebelah petang yang mempunyai atmosfera ala Eropah itu bakal menjadi ujian terbesar buat skuad The Red Warriors yang akan berkunjung ke Iskandar Puteri untuk cuba mencalarkan rekod baik JDT di laman sendiri.

Skuad kendalian Choi Moon Sik yang baharu sahaja mencatat kemenangan pertama sejak kembali ke Liga Super sudah pasti lebih bersemangat dan ingin menjadi pasukan pertama yang membolosi gawang kawalan Syihan Hazmi yang kebal sepanjang 270 minit permainan.

Pengendali Harimau Selatan, Esteban Solari tidak mahu anak-anak buahnya memandang rendah keupayaan Kelantan meskipun JDT sudah mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut dan masih kekal tanpa bolos.

Syihan Hazmi masih tidak bolos selepas tiga perlawanan

“Jika dinilai corak permainan Kelantan FC, mereka mengamalkan permainan bertahan dengan baik dan mampu melakukan serangan balas pantas sehingga berjaya mencipta kemenangan 2-0 ke atas Penang FC.

“Malah pasukan itu kerap memberi kesukaran buat barisan serangan lawan dan kami tidak boleh mengambil mudah pertembungan ini. Ia tetap perlawanan sukar bagi kami walaupun beraksi di laman sendiri selain bermain pada sebelah petang.

“Namun kami akan membuat persediaan lebih rapi dan seperti yang dikatakan, kami akan memberi fokus untuk terus memantapkan lagi barisan pemain dengan membentuk kombinasi permainan tersusun.

Pengendali JDT, Esteban Solari

“Kami harus ada kepercayaan terhadap kualiti permainan dan mengelak daripada sikap tidak sabar bagi memastikan apa jua strategi dan gerakan yang disusun atur beri impak positif dalam permainan menerusi gerakan di posisi sayap kiri dan kanan,” katanya.

JDT juga berkemungkinan turun tanpa dua tonggak utama, Bergson Da Silva dan Leandro Velasquez yang mengalami kecederaan namun ianya tidak menjadi masalah buat Solari kerana dia masih mempunyai ramai pemain berkualiti yang mampu menggalas tugas yang ditinggalkan dua pemain itu.

Musim lalu, kedua-dua pasukan bertemu dua kali ketika peringkat suku akhir Piala Malaysia yang menyaksikan JDT menang dengan aggregat 8-0 untuk layak ke peringkat seterusnya sebelum muncul juara.