AKSI antara Johor Darul Ta’zim (JDT) FC yang akan melayan kunjungan Sabah FC pastinya sangat dinantikan peminat bola sepak tanah air dengan kedua-dua pasukan dilihat sebagai pasukan yang menghuni dua tangga teratas dalam Liga Super musim ini.
JDT seperti yang diketahui umum pastinya ingin meneruskan rentak kecemerlangan dengan terus memimpin carta teratas Liga Super musim ini.
Masih segar dengan kemenangan besar 4-0 bertemu Selangor FC, skuad kendalian Esteban Solari sudah semestinya berada dalam momentum terbaik lebih-lebih lagi apabila beraksi di hadapan ribuan penonton sendiri.
Bagaimanapun, ketiadaan dua pemain JDT iaitu Arif Aiman Hanapi serta Endrick Dos Santos dilihat sedikit merisaukan kem Harimau Selatan kerana sumbangan dua pemain ini sangat berkesan dalam pasukan tersebut.
Statistik menunjukkan JDT FC dan Sabah FC dalam lima pertemuan lalu, kelima-limanya berakhir dengan kemenangan buat Harimau Selatan manakala Sabah pula masih gagal mencipta sebarang kemenangan ke atas JDT sejak kali terakhir mereka bertemu pada November 2022.
Bagi pasukan Sabah FC pula, turut merekodkan rekod cemerlang pada awal musim saingan Liga Super apabila berjaya menang empat dan hanya satu seri dalam kelima-lima aksi liga.
Ditambah pula dengan kepulangan semula Darren Lok, Daniel Ting, Stuart John Wilkin dan Dominic Tan yang baru pulang dari panggilan skuad senior kebangsaan, ia pastinya mengukuhkan cengkaman jentera pasukan The Rhinos.
Ketiadaan Arif Aiman Hanapi serta Endrick Dos Santos dilihat memberi sedikit kelegaan buat anak buah Ong Kim Swee yang pastinya ingin mencipta sejarah menewaskan JDT di laman sendiri.
Andai ianya menjadi kenyataan, maka Sabah FC bakal memintas kedudukan JDT dengan perbezaan satu mata kerana ketika ini Sabah menghuni tangga kedua liga dengan 13 mata manakala JDT berada di puncak liga dengan 15 mata.