ANGKA 40 akan menjadi sasaran dan penentu pencapaian skuad Perak FC dan ketua jurulatih, Yusri Che Lah dalam menghadapi saingan Liga Super Malaysia musim 2024-25 yang akan bermula pada 11 Mei 2024.
40 mata adalah mata minimum yang ditetapkan pihak pengurusan buat pasukan musim ini dan Yusri menggesa anak-anak buahnya untuk memberikan komitmen sepenuhnya bagi membuktikan sasaran itu boleh dicapai.
The Bos Gaurus akan memulakan kempen liga bertandang ke Kuala Terengganu menentang Terengganu FC dan Yusri mahukan tiga perlawanan awal menjadi titik tolak kebangkitan pasukan yang bergelut musim lalu.
“Pihak pengurusan memberikan saya KPI yang tinggi iaitu 40 mata dan ianya bukan mudah yang membuatkan kami perlu bekerja keras untuk memenuhinya dan itu adalah satu cabaran buat kami.
“Segala-galanya akan tertumpu pada saya untuk tiga perlawanan awal dan saya menyeru para pemain untuk fokus pada tiga perlawanan ini kerana ianya sangat penting untuk musim ini dengan dua darinya kami bermain di tempat lawan,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Yusri juga gembira dengan persiapan pasukan terutama aksi pramusim yang meyakinkan dan dia percaya Perak mampu memberikan cabaran yang baik pada musim ini.
“Persediaan pasukan berjalan dengan baik dan berharap para pemain kekal cergas menjelang aksi pada Sabtu walaupun kami kehilangan Wan Zack Haikal akibat kecederaan untuk perlawanan ini.
“Kita semua tahu Terengganu adalah pasukan yang baik tetapi dengan kehadiran beberapa pemain baharu tempatan dan antarabangsa, kami sudah bersedia untuk menghadapi musim ini,” jelasnya.
Selepas bertemu Terengganu, Perak akan kembali ke Ipoh untuk menjadi tuan rumah kepada PDRM FC sebelum ke Alor Setar untuk derbi utara bertemu Kedah Darul Aman FC untuk melengkapkan tiga perlawanan awal musim ini.