LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan penangguhan perlawanan pembukaan Liga Super Malaysia 2024/25 selama seminggu, dari 3-5 Mei kepada 10-12 Mei 2024, berikutan pemeriksaan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) ke atas sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).

“Siri perlawanan ujian VAR melibatkan kelab-kelab Liga Malaysia yang bakal diadakan pada 22 April hingga 5 Mei 2024 itu hanya boleh dilakukan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendapat kelulusan daripada Fifa.

“Seperti pengumuman MFL sebelum ini, sistem VAR yang bakal digunakan dalam Liga Malaysia tahun ini berkonsepkan mobil VAR dan siri perlawanan ujian itu penting untuk MFL menguji kestabilan, kekukuhan dan ketahanan sistem VAR dalam perlawanan kompetitif yang disiarkan secara langsung.

“Malah perlawanan ujian itu juga penting untuk MFL menguji pergerakan mobil VAR ke venue-venue, pengurusan penyiaran, pemahaman pegawai dan pasukan serta tahap kesediaan kemudahan venue terlibat.

“Berikutan perubahan tarikh pemeriksaan Fifa tersebut, MFL terpaksa melewatkan tarikh sepak mula Liga Malaysia seminggu berbanding tarikh asal iaitu 3-5 Mei ke 10-12 Mei 2024.

“MFL kini dalam perbincangan bersama kelab-kelab yang terlibat dengan siri perlawanan ini dan maklumat lanjut mengenai perancangan ini akan diumumkan sebaik sahaja butiran telah dimuktamadkan,” jelas MFL dalam satu kenyataan rasmi pada Selasa.