SABAH FC berhadapan tugas sukar apabila Ramon Machado dan Saddil Ramdani mungkin terlepas beraksi pada aksi pembukaan Liga Super menentang Penang FC di Stadium Likas pada Ahad.
Pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee berkata kedua-dua pemain itu masih belum pulih sepenuhnya akibat kecederaan selepas perlawanan persahabatan pramusim Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) 2024 minggu lalu
Namun dia masih optimis kerana ada tempoh 24 jam untuk melihat secara keseluruhan tahap kecergasan mereka sebelum menentukan sama ada duo itu dapat diturunkan atau sebaliknya.
“Kita tidak akan mengambil risiko berikutan perjalanan Liga Super baru bermula dan dalam masa sama Sabah FC sedang mencorak taktikal lain untuk mengisi kekosongan sekiranya kedua-dua mereka tidak dapat diturunkan.
“Selain itu, S.Kumaahran juga berada dalam senarai kecederaan manakala Damien Lim sudah pasti terkeluar kerana perlu berehat kemungkinan selama enam hingga ke lapan minggu selepas mengalami kecederaan Medial Collateral Ligament (MCL).
“Kita akan lihat perkembangannya, Damien Lim memerlukan masa untuk mendapatkan semula tahap kecergasannya,” katanya.
Mengulas mengenai persiapan Sabah FC menentang Penang FC, Kim Swee berkata ini bukan satu perlawanan mudah memandangkan Harimau Kumbang mempunyai jurulatih yang baharu serta beberapa pemain yang sangat berkualiti.
“Penang FC juga bersiap sedia dengan banyak menghadapi perlawanan persahabatan pramusim termasuk tiba dua hari lebih awal ke Kota Kinabalu.
“Ini menunjukkan mereka sangat serius dalam menghadapi saingan musim 2024-25 ini. Kami juga sudah bersiap sedia sepenuhnya dalam mengharungi kempen Liga Super ini selepas menjadi juara dalam Piala SMJ,” jelas Kim Swee.
Menurutnya banyak kelemahan dan kekuatan dapat dilihat, disamping cuba memperbaiki beberapa kelemahan sedia ada sekaligus akan mampu mencapai keputusan positif pada perlawanan pertama ini.