TUMPUAN peminat bola sepak tanah air akan kembali kepada saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang bersambung malam esok selepas berakhirnya kempen Kelayakan Piala Asia 2023.

Selepas hampir sebulan berhenti rehat untuk memberi laluan kepada kalendar antarabangsa yang menyaksikan Harimau Malaya ke pusingan akhir, saingan Liga Super pasti dinanti-nantikan seluruh penyokong tanah air.

Suasana penuh havoc di Stadium Nasional Bukit Jalil oleh peminat tempatan harus diteruskan pula aksi di peringat kelab selepas agak suram di awal permulaan musim.

Empat perlawanan akan berlangsung dengan melibatkan pertemuan Negeri Sembilan FC menentang Melaka di Stadium Hang Jebat.

Tiga aksi lagi membabitkan Sabah FC yang menanti kunjungan Sri Pahang di Stadium Likas manakala Terengganu FC berdepan Kuala Lumpur City di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pertembungan yang amat dinantikan peminat bola sepak tempatan antara Kedah menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sepatutnya berlangsung pada Ahad, namun telah dipinda ke satu tarikh baharu.

Selangor FC pula dijadualkan bertemu Sarawak United, malam Ahad ini

JDT masih menerajui carta Liga Super dengan 16 mata.

Sabah dan Negeri Sembilan berpeluang memintas JDT di tangga teratas jika menewaskan lawan masing-masing.

Sementara itu, pasukan tercorot, Penang FC melayan kunjungan PJ City FC di Stadium Bandaraya.

Statistik penjaring terbanyak gol masih dipegang oleh penyerang JDT, Bergson dengan ledakan sembilan gol manakala pertahanan Negeri Sembilan, Khuzaimi Piee mendahului senarai pemain yang kerap mengutip empat kad kuning, berkongsi dengan Muhammad Rafiuddin Roddin (Penang FC).

Ayuh, jangan lupa hadir dan menyokong pasukan kegemaran anda. Jumpa anda di stadium !

 

Jadual Perlawanan, 18 JUN 2022

Melaka United lwn Negeri Sembilan, 8.15 mlm
Sabah lwn Sri Pahang, 8.15 mlm
Terengganu lwn Kuala Lumpur City, 9 mlm
Pulau Pinang lwn Petaling Jaya City, 9 mlm