KEGEMBIRAAN menjulang Piala FA masih dirasai oleh kesemua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) namun kini mereka kembali fokus kepada aksi Liga Super apabila menjadi tetamu kepada Petaling Jaya City FC.

Selepas memenangi piala kedua musim ini, JDT kini kembali memburu kejuaraan kesembilan berturut-turut dalam Liga Super dan tiga mata pada perlawanan esok bakal mendekatkan lagi mereka kepada gelaran hatrik.

Berdepan PJ City yang menggunakan kesemua pemain tempatan bukanlah tugas yang mudah buat Harimau Selatan kerana PJ City adalah antara pasukan yang sering menimbulkan masalah kepada mereka.

Tatkala rekod enam kemenangan berturut-turut dalam liga diganggu oleh Selangor FC, JDT dijangka akan menurunkan kesebelasan terbaik untuk menjamin satu lagi kemenangan sebelum liga berehat selama dua minggu.

Selepas berehat lebih tiga minggu dan kembali meraih kemenangan selepas 13 perlawanan, PJ City dilihat mempunyai skuad yang lebih segar untuk menghadapi JDT dan akan menggunakan kelebihan bermain di laman sendiri untuk sekurang-kurangnya meraih keputusan positif.

Dengan tiga pemain yang dipanggil menyertai kem kebangsaan, Kalamullah Al Hafiz, Darren Lok dan V.Ruventhiran pastinya akan menjadi motivasi buat PJ City untuk membuktikan keupayaan mereka mengekang sang juara.

Ianya juga bakal menjadi peluang buat anak-anak buah P.Maniam untuk mendapatkan tiga mata sekaligus dapat memperbaiki kedudukan dalam liga dan bersaing dalam kelompok pertengahan liga.

Di atas kertas misi untuk menyekat barisan Hector Bidoglio dilihat sukar namun dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan JDT juga sedar akan kemampuan PJ City berdasarkan rekod pertemuan yang lalu.

Pada aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Ibrahim, JDT mudah membenam cabaran PJ City dengan empat gol tanpa balas hasil dua jaringan Fernando Forestieri dan masing-masing satu oleh Bergson dan Safawi Rasid.

Dapatkah Harimau Selatan membaham kembali PJ City atau mampukah The Phoenix bangkit dari abu untuk menghalang JDT mengutip mata penuh, menarik untuk kita saksikan.