DERITA yang ditanggung Kelantan FC dijangka berpanjangan apabila menerima kunjungan pasukan di tempat kedua, Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada Jumaat.

Skuad The Red Warriors yang dibelasah 10-0 oleh Johor Darul Ta’zim pada aksi Piala Malaysia minggu lalu sudah pasti mencari semula semangat menghadapi baki musim yang cukup sukar dengan pelbagai masalah yang melanda kelab.

Begitu juga dengan Selangor FC yang tentu mahu bangkit dari kekalahan kepada PDRM FC dalam Piala Malaysia dan kehadiran semula tonggak utama, Faisal Halim pastinya menjadi motivasi terbaik buat The Red Giants untuk membawa pulang tiga mata penuh sekaligus mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga.

Pengendali Kelantan FC, Alfredo Vera

Pengendali Kelantan FC, Alfredo Vera tidak mahu memikirkan kekalahan besar itu sebaliknya hanya fokus untuk mempersiapkan pasukan dengan pemain yang dimiliki untuk aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri.

“Kami mempunyai waktu yang panjang untuk mempersiapkan pasukan dan itu sahaja perkara yang kami boleh fokus kerana kami mengalami masalah pendaftaran pemain import. Kita akan terus berusaha dengan pemain yang ada kerana kami sedar dengan keadaan pasukan ketika ini,” katanya.

Sementara itu pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe mahu para pemainnya kembali fokus dan memberikan persembahan yang bersemangat bagi memastikan mereka membawa pulang tiga mata dan kekal di tangga kedua sekaligus mencerahkan peluang ke peringkat Asia musim hadapan.

Tan Cheng Hoe

“Setiap perlawanan adalah pelajaran buat kami dan kami perlu lebih baik apabila bertemu Kelantan. Kita akan turun dengan semangat sebagai satu pasukan dan kita inginkan satu keputusan yang positif di Kota Bharu,” jelasnya.

Kelantan juga semestinya mahu mengelak menjadi pasukan pertama yang dibolosi 100 gol pada saingan Liga Malaysia apabila mereka kini sudah dibolosi sebanyak 95 gol dan mereka perlu menyekat Selangor dari berpesta gol sekiranya mahu mengelakkan rekod yang tidak menarik ini.