LIGA Super Malaysia semakin menunjukkan peningkatan di peringkat Asia apabila kini menduduki tangga ke-18 dari 37 liga profesional yang bernaung di bawah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berdasarkan laporan oleh Opta Power Rankings.

Tambah menarik, menerusi laporan yang dikemaskini pada 23 Jun 2024 itu, Liga Super Malaysia juga kini di ranking keenam Asia Timur dan kedua di Asia Tenggara sekaligus menunjukkan nilai kompetitif yang tinggi di kalangan pasukan yang bertanding.

Liga Super Malaysia mengumpul 58.1 mata dengan Liga Republik Korea menduduki ranking teratas dengan 72.9 mata manakala Liga Jepun kedua dengan 72.7 mata dan Liga Arab Saudi ketiga dengan 71.8 mata.

Kedudukan terkini liga-liga Asia

Untuk kategori Asia Tenggara, Liga Super Malaysia hanya dipisahkan 3.8 mata dari Liga Thailand manakala Liga Vietnam ketiga diikuti Liga Indonesia, Liga Filipina, Liga Singapura, Liga Myanmar dan Liga Kemboja.

Kejayaan Liga Super Malaysia menduduki tangga keenam Asia Timur adalah kerana penglibatan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam pertandingan Liga Juara-Juara AFC sejak enam tahun lalu selain muncul juara Piala AFC pada 2015.

Mata MA Ranking Malaysia turut bertambah dibantu kejayaan Kuala Lumpur City FC muncul naib juara Piala AFC 2022 selain Sabah FC dan Terengganu FC yang turut menyumbang mata dalam Piala AFC 2023-24.

Kejayaan Kuala Lumpur City FC muncul naib juara Piala AFC 2022 antara penyumbang mata MA Malaysia

Kedudukan ini pastinya akan berubah jika empat kelab Malaysia yang beraksi di kejohanan kelab Asia musim 2024-25 dapat mencatatkan keputusan yang cemerlang seperti tahun-tahun sebelum ini.

Untuk musim 2024-25, JDT bakal membawa cabaran di Liga Juara-Juara AFC Elite dan Selangor FC akan bersaing di Liga Juara-Juara AFC 2 manakala Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC akan merebut peluang muncul juara pertama Kejuaraan Kelab Asean, Shopee Cup.