SEBANYAK 14 pasukan akan mengambil bahagian dalam Liga Super Wanita FAS 2024, tambahan dua dari 12 pasukan musim lalu yang menyaksikan lebih banyak perlawanan dan pemain dapat disaksikan musim ini.
Selain Liga Super, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) juga memperkenalkan dua pertandingan lain iaitu Piala FA dan Piala Konfederasi khusus buat pasukan yang tidak melepasi pusingan seterusnya untuk memastikan setiap pasukan mempunyai banyak perlawanan dalam semusim.
Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Agung FAS, Izrin Nabil Ismail ketika majlis pelancaran FAS Women Super League 2024 yang disempurnakan oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawan Negeri Selangor, YB Najwan Hilmi.
“Kami memperkenalkan format yang lebih panjang dan kompetitif buat semua pasukan dengan kita sudah meluaskan format pertandingan kepada tiga bahagian iaitu Liga Super melibatkan 14 pasukan dalam dua kumpulan, Piala FA dan Piala Konfederasi.
“FAS juga mengekalkan format ‘centralised venue’ iaitu Stadium MBSJ kerana kami akan menyerap kos logistik jadi pasukan boleh fokus kepada pembangunan pasukan dan mungkin kita akan mengubah venue pada peringkat suku akhir dan seterusnya untuk keselesaan para penyokong,” katanya.
Izrin juga gembira dan menyambut baik kehadiran pasukan Selangor FC dalam liga musim ini kerana ianya selari dengan hala tuju pembangunan bola sepak wanita kelab itu selain dapat meningkatkan lagi nilai komersil liga itu sendiri.
“Kehadiran skuad Selangor FC adalah satu perkara yang menggembirakan dan kami sambut baik pembentangan hala tuju bola sepak wanita mereka tetapi ianya tidak akan wujud ‘conflict of interest’ kerana Selangor FC berpeluang untuk bermain dalam dua kejohanan berbeza iaitu Liga Super Wanita dan juga Liga Wanita Nasional.
“FAS nampak potensi bola sepak wanita ini dan kita mahu membantu serta kembangkan lagi sukan ini dan kami mempunyai hubungan baik dengan FAM berkaitan pembangunan bola sepak wanita dan berharap negeri lain juga turut sama meningkatkan mutu bola sepak wanita di negara ini,” tambahnya.
Dalam majlis yang sama, satu undian telah dilakukan dimana kesemua pasukan mengetahui kumpulan masing-masing selain undian Piala FA turut diadakan dengan dua pasukan mendapat bye di pusingan 16.
Kumpulan A menampilkan pasukan FC Japan MY, MBPJ FC, UiTM United, Sternen FC, MBSJ FC, FC Swat dan Selangor FC manakala Kumpulan B terdiri daripada pasukan Galaxi Girls, Perkemas, Spicegals, PNSB, Real CJ, SA United dan SSS Leopard.
Perlawanan pertama akan berlangsung bermula 3 Februari di Stadium MBSJ dengan juara bakal membawa pulang wang tunai RM10,000 selain wang hak penyiaran sama rata bernilai RM1,500 dan bonus jumlah penyiaran berdasarkan tiga tier yang disediakan.