LIGA Teqball Malaysia membuka tirai buat kali pertama apabila dilancarkan secara rasmi di KL Gateway Mall pada Sabtu dengan lapan pasukan dari seluruh negara bersedia bersaing sepanjang hujung minggu ini untuk dinobatkan sebagai juara sulung LTM dan meraih ganjaran wang tunai bernilai RM26,600.

Tambah menarik, LTM 2023 juga bertindak sebagai pertandingan kelayakan untuk menentukan pasukan yang akan mewakili Malaysia di Kejohanan Teqball Dunia di Bangkok, Thailand, dari 29 November hingga 3 Disember 2023.

Pelancaran LTM 2023 turut diserikan dengan kehadiran DYTM Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalulail, sekali gus meningkatkan prestij kejohanan yang pertama kali diadakan ini.

Setiap pasukan yang terdiri daripada empat hingga lapan orang pemain akan bersaing secara format ‘round-robin’ dalam tiga kategori iaitu perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita, dan beregu campuran.

Presiden Persatuan Teqball Malaysia (MTA), KJ Siva berkongsi kegembiraannya dalam ucaptamanya dengan menyatakan kewujudan LTM ini sebagai satu sejarah baharu dalam sukan di negara ini.

“Liga Teqball Malaysia adalah bukti bahawa walaupun Teqball adalah sukan yang agak baru, popularitinya meningkat dengan pesat di negara kita.

“Kejohanan bersejarah ini mewakili komitmen kami untuk mempromosikan permainan Teqball di Malaysia dengan kejohanan liga ini bakal menyaksikan kemahiran dan kesungguhan pemain dalam permainan ini,” katanya.

Berasal dari Hungary, Teqball diperkenalkan pada tahun 2012 di mana ia menggabungkan elemen-elemen bola sepak, sepak takraw, dan ping pong yang dimainkan di meja yang melengkung.

Sukan yang berkembang pesat ini sesuai untuk pemain bola sepak profesional dan amatur yang ingin mengembangkan kemahiran teknikal, tumpuan, dan daya tahan mereka.