KEMERIAHAN dan kualiti Liga 1 Thailand dijangka bertambah apabila mesyuarat antara pengelola liga dan kelab-kelab yang bertanding mencapai kata sepakat untuk mengubah kuota pemain import bagi musim 2025-2026.

Menerusi mesyuarat itu, kesemua pemegang taruh yang terlibat bersetuju untuk menambah bilangan pemain import di dalam padang kepada tujuh pemain berbanding enam yang dibenarkan dalam satu-satu perlawanan sebelum ini.

Setiap kelab selepas ini dibenar mendaftarkan maksimum tujuh pemain asing dari pelbagai negara termasuk pemain import Asia dan tidak ada had untuk kelab mendaftarkan pemain import dari rantau Asia Tenggara.

Perubahan kuota import dilakukan selaras dengan peraturan baharu AFC

Dalam mesyuarat yang sama, kesemua pemegang taruh bersetuju untuk membenarkan maksimum lima pemain asing termasuk pemain Asia dan dua pemain Asia Tenggara untuk diletakkan dalam skuad pada hari perlawanan.

Secara ringkasnya, tujuh pemain import dibenarkan bermain dalam satu-satu perlawanan dan empat pemain tempatan perlu berada di dalam padang untuk melengkapkan kesebelasan utama.

Langkah ini diambil selaras dengan perubahan dilakukan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang menetapkan tiada had kuota pemain import dalam semua pertandingan kelab anjuran mereka seperti Liga Juara-Juara AFC Elite dan Liga Juara-Juara AFC 2.

Untuk rekod, ketika ini Thailand memperolehi empat kuota buat kelab ke pertandingan kelab Asia dan menjadi yang tertinggi di kalangan negara-negara Asia Tenggara.