KELANA United FC dijadualkan bertemu pasukan LMS Tigress pada Ahad dalam perlawanan terakhir Liga Wanita Nasional (LWN) dengan kemenangan percuma dijangka menjadi milik mereka sekiranya pasukan bermasalah itu sekali lagi tidak hadir ke perlawanan.

Sekiranya perkara itu berlaku, Kelana United mungkin akan dinobatkan sebagai juara pertama LWN sekiranya Sabah tidak berjaya memungut sebarang mata ketika menentang pasukan tangga ketiga, Malaysian University pada Sabtu.

Namun pengendalinya, Razman Roslan masih menganggap perlawanan itu akan dilangsungkan dan mereka masih melakukan persiapan dan latihan seperti biasa.

“Pasal LMS Tigress kami tak mahu fikir apa-apa, buat masa ni kami masih fokus dan menjalani latihan seperti biasa. Kami masih menganggap ada perlawanan lagi minggu ini.

“Betul Sabah hanya perlu satu mata untuk juara, tapi bola sepak apa-apa boleh berlaku, MUFT juga ada peluang untuk menang sebab meraka main di tempat sendiri dan ingin perbaiki kedudukan. Jadi bagi kami jika ada rezeki tak kemana dan kalau tidak ada rezeki pun kami dah cuba yang terbaik,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Kelana United yang dibarisi beberapa pemain ternama dan kebangsaan bermula agak perlahan pada peringkat awal liga tetapi bangkit selepas melakukan beberapa rombakan dalam pasukan ketika jendela perpindahan kedua berlangsung.

“Jendela perpindahan kedua, kita bawa masuk tujuh pemain baru untuk kuatkan pasukan serta untuk mengisi posisi yang pada saya ada sedikit masalah dan nampaknya masalah itu selesai selepas kemasukan pemain-pemain ini,” jelasnya.

LMS Tigress tidak hadir dalam tiga perlawanan sebelum ini yang menyaksikan pihak pengelola liga terpaksa memberikan kemenangan percuma kepada pasukan Sekolah Sukan Malaysia Pahang, Sabah dan Malaysian University

Kelana United kini di tangga kedua dengan 16 mata dan berpeluang menamatkan liga dengan 19 mata tetapi perbezaan jumlah jaringan menyaksikan Sabah berpeluang untuk muncul juara sulung Liga Wanita Nasional musim ini.