KETUA Jurulatih skuad bola sepak wanita Malaysian University (MUFT) gembira dengan pengalaman baharu di Liga Wanita Nasional 2023 (LWN) meskipun dinafikan kejuaraan liga pada minit-minit terakhir perlawanan.
MUFT hampir bergelar juara sulung liga wanita itu apabila mendahului Sabah pada minit ke-85 sebelum skuad dari Borneo itu yang hanya memerlukan keputusan seri untuk bergelar juara menyamakan kedudukan dua minit selepas itu untuk menafikan hasrat anak-anak buah Fairuz Abdul Aziz.
“Syukur kerana pasukan kami menampilkan aksi yang membanggakan kerana ianya tidak mudah untuk menang tetapi kejohanan ini adalah satu pengalaman baharu buat saya bersama pasukan wanita.
“Walaupun menduduki tempat ketiga, kami berjaya mencatatkan rekod yang baik tanpa kalah di pusingan kedua dan kami akan kembali dengan lebih kuat pada musim hadapan kerana harapan kami adalah untuk menghasilkan lebih banyak pemain wanita untuk mewakili negara,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Fairuz turut mengakui dia sebagai jurulatih berdepan kesukaran untuk mengumpul pemain untuk latihan kerana pemain mereka adalah gabungan dari empat pelajar universiti tempatan yang mempunyai kekangan dari sudut jadual dan jarak tempat latihan.
“Saya gembira kerana meskipun mengalami kekangan dari segi jarak dan jadual pemain dari empat universiti menunjukkan kesungguhan dan menunjukkan mereka faham serta boleh bermain bermain bola sepak dan kami mahu menghasilkan lebih banyak pemain selepas ini,” jelasnya.
Sementara itu pemain pertahanan MUFT, Eva Olivainie menganggap apa yang dilalui di LWN adalah satu proses untuk menjadi lebih baik dan mahu bergerak ke hadapan sebagai persediaan untuk mendapat keyakinan ketika beraksi di peringkat antarabangsa.
“Saya menganggap perjalanan dalam liga ini adalah satu proses untuk saya bagi menghadapi perlawanan antarabangsa dan saya menganggap diri sendiri sebagai pesaing dan tidak melihat rakan-rakan seperjuangan sebagai semangat untuk saya kekalkan tempat dalam skuad kebangsaan,” katanya.
Fairuz dan Eva juga berterima kasih kepada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana berjaya mewujudkan liga bola sepak khusus untuk wanita ini kerana ianya membuka dimensi baharu sukan ini dan langkah awal untuk menghasilkan skuad kebangsaan yang lebih berkualiti.